Ads Top

Hadis Palsu – Makan Bila Lapar, Berhenti Sebelum Kenyang

Tanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri bukan hanya terhad kepada ancaman bahaya secara langsung sahaja malah termasuk dalam aspek pemakanan. Islam melarang kita makan secara berlebihan yang akhirnya dapat memudaratkan diri dan mengundang penyakit berbahaya seperti kencing manis dan darah tinggi.

Kata-kata ini sering kita dengar – sama ada ketika menerima nasihat atau memberi nasihat tentang pemakanan, atau kata-kata yang akan diingatkan kepada diri sendiri apabila terasa ingin makan secara berlebihan.

Kata orang, jangan makan ikut nafsu!

Ada pula yang menyandarkannya kepada sunnah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW sendiri, yang berbunyi;

نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع

“Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang”

Walau bagaimanapun menurut Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah, sanadnya dhaif tetapi maksudnya benar. Hal ini kerana, ada manfaat yang tersimpan di sebalik amalan makan apabila hanya terasa lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Hal ini disokong lagi dengan sekian banyak nasihat berkenaan perbuatan menjauhkan diri daripada makan terlalu kenyang. Kenyang akan menjemput kemalasan dan boleh mengundang penyakit.

Kata Imam As-Syafie, kenyang membuatkan badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan, membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah.

Malah dalam tips diet moden yang banyak terdapat di internet, sering menasihatkan supaya makan hanya apabila lapar, tidak curi-curi makan snek dalam senggang waktu antara waktu makan utama supaya kita tidak makan secara tanpa sedar.

Manakala anjuran untuk berhenti sebelum kenyang juga dilihat bersesuaian dengan kenyataan oleh Zane Andrews, profesor madya (associate professor) dalam bidang Fisiologi dan Neurosaintis di Monash University. Beliau menyebutkan bahawa kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk rasa kenyang apabila kita mula makan. Jadi berhenti sebelum perut anda berasa benar-benar penuh.

Kesimpulannya, makna dalam ayat yang dikatakan hadis pada awal tadi adalah diterima namun tidak boleh disandarkan kepada sunnah Rasulullah SAW kerana sanadnya dhaif. Wallahua’lam.

Rujukan:
Muslim.or.id
Huffingtonpost.com.au




No comments:

Powered by Blogger.