Bolehkah Ibu Bapa Yang Tidak Menunaikan Solat Menyuruh Anaknya Bersolat
Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ia adalah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan keadaan orang tua yang mengajar anaknya untuk menjadi baik sedangkan dirinya sendiri kurang baik.
Ada juga situasi yang menyebut bahawa ibu bapanya itu suka melakukan maksiat, tidak menunaikan solat dan menutup aurat dengan sempurna, namun mereka tetap mengajarkan anaknya untuk menunaikan perkara-perkara kebaikan tersebut malah melarang anaknya berbuat dosa.
Dalam hal ini, sama ada dibolehkan atau tidak untuk ibu bapa melakukan perkara tersebut, ia perlu dilihat daripada beberapa aspek, iaitu:
#1 – Tugas ibu bapa adalah mendidik anak-anak. Menjadi kewajipan ibu bapa untuk mendidik dan memberikan pendidikan kepada mereka.
Sama ada pendidikan itu datang secara terus daripada mereka atau tidak, ia adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan dan tidak boleh diambil mudah.
Anak-anak itu lahir dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa. Jadi, ibu bapalah guru pertama buat mereka.
#2 – Doa anaklah yang akan menjadi saham kita di akhirat kelak. Kita tahu bahawa antara amalan yang tidak terputus apabila meninggal dunia ialah doa yang dikirim oleh anak yang soleh kepada kita.
Rata-rata ibu bapa di dunia ini pasti mengharapkan cahaya mata mereka untuk mendoakan kesejahteraan mereka di alam sana.
Disebabkan itu, kita dituntut untuk mengajarkan anak-anak perkara yang baik dan ilmu yang bermanfaat. Ia bukan sahaja untuk kebaikan mereka, tetapi untuk saham akhirat kita kelak.
#3 – Anak-anak juga belajar daripada teladan. Mereka bukan sekadar menyerap ilmu berdasarkan apa yang kita perkatakan, tetapi juga berdasarkan apa yang dilihat.
Jika mereka melihat ibu bapa asyik bertengkar atau tidak melaksanakan solat, pasti minda mereka juga boleh terpengaruh dengan perkara tersebut.
Mereka juga mungkin bertanya – “Kenapa aku kena solat sedangkan ayah aku tak pernah solat?”
Sering juga kita dengar, pembelajaran itu juga bermula dari teladan.
#4 – Mengapa kita ingin memperkatakan apa yang tidak kita lakukan? Bukankah dalam beberapa dalil, Baginda SAW berpesan agar kita juga melakukan apa yang kita nasihati, begitu juga dengan firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ
Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya?” (Surah As-Saff, 61:2)
Ini bukanlah bermaksud menunggu kesempurnaan hadir barulah ingin menyampaikan dakwah. Kalau begitu, sudah tentu tiada dakwah yang terlaksana kerana tiada manusia yang sempurna.
Tetapi ulama berkata, seeloknya perkara yang disampaikan itu dilakukan. Atau, jika kita belum melakukannya, seeloknya berusaha juga ke arah itu.
Dalam masa anda mengajar anak anda mengenai solat, apa kata anda turut menunaikan solat bersamanya. Itu kan lebih baik?
Kesimpulan
Melakukan kewajipan sebagai ibu bapa itu adalah dituntut. Sama ada anda seorang pelaku maksiat atau bukan. Semoga dalam usaha anda mendidik anak-anak, hidayah Allah juga akan sampai kepada anda untuk sama-sama menjadi ibu bapa yang baik.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
No comments: