Ads Top

Bagaimana Jika Nazar Tidak Ditunaikan Pada Waktunya Kerana Uzur

Jika anda bernazar untuk melakukan sesuatu, maka ia wajib dilakukan. Tujuan nazar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Disebabkan itu, nazar yang baik dan tidak berbentuk kemaksiatan itu adalah diterima.

Ada orang, apabila meniatkan nazar, mereka akan meletakkan spesifikasi masa dan hari yang ingin ditunaikan. Namun ada juga yang sekadar bernazar tanpa ditetapkan hari yang khusus.

Contohnya, ingin berpuasa pada hari Isnin hadapan jika berjaya dinaikkan pangkat. Ataupun, ada juga yang sekadar bernazar untuk berpuasa.

Dalam keadaan ini, nazar itu wajib dilakukan pada hari Isnin hadapan. Berbeza dengan situasi yang kedua, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan syarat tidak terlupa akan nazar tersebut.

Namun, menurut jumhur ulama, adalah lebih baik untuk menyegerakan agar nazar tersebut ditunaikan. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini seperti terlupa atau tidak mampu untuk melaksanakannya nanti. Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat.

Bagaimana pula dengan mereka yang sudah menetapkan hari untuk melakukan nazar itu, namun pada hari tersebut berlaku keuzuran atau perkara yang tidak dapat dielakkan seperti terjadinya kemalangan atau datang haid bagi wanita.

Dalam hal ini ada diterangkan oleh jumhur ulama yang bermaksud:

“Sekiranya nazar itu ditentukan waktu pelaksanannya dengan waktu tertentu, maka wajib dilaksanakan pada waktu yang dikaitkan. Jika dia melewatkan pelaksanaan nazar daripada waktu itu tanpa keuzuran, maka dia berdosa dan wajib dia mengqadanya. Sekiranya dia melewatkan kerana suatu keuzuran, maak tidak berdosa dan wajib ke atasnya untuk menggantikannya apabila ada peluang untuk melaksanakannya.”

Melalui pendapat ini, dapat kita faham bahawa jika perkara tersebut terjadi tanpa dapat dikawal, maka ia adalah tidak berdosa dan boleh menggantikannya pada bila-bila masa lain yang mampu.

Namun, jika ia sengaja ditangguh tanpa alasan, maka inilah perkara yang dilarang dan hukumnya adalah berdosa.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.