Bersedekah Itu Bukan Sekadar Memberi Wang Ringgit
Ada orang menganggap sedekah itu sekadar memberikan wang semata-mata. Namun, tahukah anda maksud sedekah yang sebenar ialah lebih luas daripada itu.
Setiap perkara baik yang kita lakukan di atas muka bumi ini ialah sedekah. Memberi senyuman, menolong mengalihkan batu yang menghalang laluan orang juga dikira sedekah dan membantu membersihkan rumah juga dikira sedekah.
Semuanya amalan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada diri kita sendiri tetapi kepada makhluk sekeliling adalah sedekah.
Ada sebuah hadis yang disebutkan oleh Baginda SAW, iaitu;
عَنْ جَابِرٍ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – – كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ – أَخْرَجَهُ اَلْبُخَارِيُّ
Maksud: “Dari Jabir RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kebaikan adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6021)
Mudahnya Untuk Mendapat Pahala
Mendapat pahala itu mudah sahaja. Jika diamati akan ajaran yang ditinggalkan Baginda SAW, dengan berniat untuk melakukan kebaikan juga akan diganjari pahala apatah lagi jika niat tersebut terlaksana.
Itulah yang membuktikan sifat Maha Pemurahnya Allah terhadap hamba-hambaNya. Tetapi, kadang-kadang kita sendiri sebagai manusia amat berkira untuk melakukan kebaikan.
Ada orang yang takut nak melakukan sedekah, bimbang jika rezeki semakin berkurang. Sedangkan, dengan memberi, maka Allah menjanjikan nikmat yang lebih luas lagi.
Walaupun sedekah yang ingin dilakukan itu dalam bentuk wang ringgit, tenaga, kudrat mahupun harta benda, ia semua akan dicatat pahala dan yakinlah Allah akan mengganjarinya dengan sesuatu yang lebih besar lagi.
Lakukanlah kebaikan walau ia kecil. Jangan pandang rendah akan sekecil-kecil kebaikan kerana kita tidak tahu amalan mana yang boleh membantu kita untuk ke syurgaNya.
Wallahu a’alam.
No comments: