Berdoalah Dalam Keadaan Yakin Akan Dikabulkan
Bagi seorang mukmin, doa adalah perkara yang akan dilakukan setiap hari, sekurang-kurangnya lima kali sehari – iaitu setelah selesai solat. Namun apakah yang terisi dalam doa-doa itu? Adakah ia sekadar menjadi rutin yang diulang-ulang hingga tidak terasa bermakna lagi, atau ia masih menjadi cara seseorang itu berkomunikasi dengan Tuhan?
Antara kesilapan yang kita lakukan ketika berdoa adalah berdoa dalam keadaan lalai. Mulut sedang meminta, namun hati menerawang memikirkan perkara lain. Tahu-tahu sahaja tangan sudah diraupkan ke muka.
Kesalahan kedua, adalah berdoa dalam keadaan tidak yakin. Jauh di lubuk hati, kita masih ragu-ragu sama ada Allah akan mengurniakan atau tidak apa yang dihajati. Kita rasa mustahil untuk Allah memberikan apa yang kita mahukan.
Awas, hal inilah yang boleh menyebabkan doa kita tidak terkabul.
Nabi SAW bersabda,
اُدْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai.” (HR. Tirmidzi, no. 3479 – Syaikh Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini hasan)
Bayangkan jika selama ini doa kita tidak terkabul bukan kerana Allah tidak mahu memberi, tetapi kerana hati kita sendiri tidak yakin Allah akan memberi.
Justeru, bersangka baiklah pada Allah dalam setiap urusan. Bersangka baik juga bahawa natijah doa itu adalah yang terbaik daripada Allah. Dan akhirnya, doa tidak menafikan usaha. Usaha masih tetap perlu dilakukan seiring doa yang dipinta.
No comments: