Terengganu Benarkan Solat Jumaat Hanya Di 1 Masjid Bagi Setiap Daerah
Solat Jumaat hanya dibenarkan di satu masjid bagi setiap daerah di Terengganu dan akan bermula pada 22 Mei 2020. Demikian keputusan yang telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), beberapa syarat telah ditetapkan sebagaimana berikut:
1. Hanya 1 masjid untuk 1 daerah sahaja dibenarkan.
2. Bilangan ahli jemaah yang akan melaksanakan solat Jumaat hendaklah tidak melebihi 40 orang.
3. Pegawai Agama Daerah bertanggungjawab dalam mengenalpasti jemaah yang akan menghadiri solat Jumaat. Catatan butiran diri ahli jemaah perlu dicatat dengan teliti.
4. Individu yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan,sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran dalam buku kehadiran.
5. Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas tidak dibenarkan hadir.
6. Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak, dan selsema tidak dibenarkan hadir. Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir.
7. Melaksanakan penjarakan sosial termasuk semasa solat sekurang-kurangnya 1 meter.
8. Individu yang hadir wajib memakai pelitup muka termasuk ketika menunaikan solat.
9. Mestilah berwuduk terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid dan membawa sejadah sendiri.
10. Sebarang kontak fizikal tidak dibenarkan seperti berjabat tangan sama ada sebelum atau selepas solat.
11. Setelah selesai solat, jemaah perlu terus beredar meninggalkan kawasan masjid.
12. Khutbah hendaklah ditumpukan kepada rukun sahaja dengan mengambil masa tidak lebih daripada 7 minit untuk kedua-dua khutbah.
13. Sembahyang-sembahyang sunat tidak dibenarkan kecuali Solat Tahiyyatul Masjid.
14. Memastikan aliran pengudaraan di dalam ruang solat dengan membuka semua jendela dan menggunakan kipas angin sahaja. Pendingin hawa tidak dibenarkan.
Pihak masjid perlu memastikan semua syarat-syarat yang ditetapkan ini dipatuhi. Manakala, bagi solat berjemaah lima waktu, hanya tiga orang sahaja dibenarkan iaitu terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid secara bergilir-gilir.
*Sumber gambar daripada buletinonline.net
No comments: