Bolehkah Solat Jumaat Sedangkan Bilangan Jemaah Tidak Cukup 40 Orang?
Solat Jumaat merupakan kewajipan serta syiar agama yang mesti dipelihara. Inilah masanya umat Islam dapat berkumpul bersama-sama menzahirkan kepatuhan dan keabdian kepada Yang Maha Pencipta dalam masa sama dapat menjalinkan silaturahim, menyebarkan rahmah antara satu sama lain.
Solat Jumaat disyariatkan apabila turunnya firman Allah dalam Surah Al-Jumuah ayat ke-9.
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah 62:9)
Walau bagaimanapun, kita mengetahui bahawa Pihak Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan perintah larangan Solat Jumaat dan solat-solat Jemaah di masjid sepanjang fasa-fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah keselamatan ini diambil bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang mampu mengancam nyawa.
Terkini, kebenaran untuk Solat Jumaat dan solat jemaah telah diberi secara bersyarat. Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri lain telah membenarkan masjid dan surau terpilih dibuka semula untuk tujuan Solat Jumaat, Solat Tarawih dan solat-solat jemaah yang lain dengan jumlah bilangan jemaah dihadkan kepada 30 orang dan ada pula 12 orang.
Sehubungan dengan perkara ini, timbul beberapa pertanyaan – adakah boleh menunaikan Solat Jumaat walaupun bilangan jemaah tidak mencapai 40 orang seperti yang biasa dilakukan?
Para ulama bersepakat bahawa Solat Jumaat perlu dilakukan secara berjemaah, cuma yang diperselisihkan adalah bilangan minima jemaah.
Bagi memahami hal ini dengan lebih dalam, mari kita teliti pandangan daripada mazhab-mazhab yang ada berkenaan bilangan minima Solat Jumaat.
Mazhab Maliki
Ulama Malikiyyah meletakkan syarat bahawa bilangan minima yang perlu menghadiri Solat Jumaat adalah 12 orang dari lelaki Muslim yang bermastautin dan kekal bersama Imam dari awal khutbah sehinggalah selesai menunaikan Solat Jumaat.
Pendapat ini disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir di bawah:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْطُبُ قَائِمًا يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَجَاءَتْ عِيرٌ مِنْ الشَّامِ فَانْفَتَلَ النَّاسُ إِلَيْهَا حَتَّى لَمْ يَبْقَ إِلَّا اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا
“Rasulullah SAW berdiri berkhutbah pada hari Jumaat, lalu datanglah rombongan dari Syam, lalu orang-orang pergi menemuinya sehingga tidak tersisa, kecuali dua belas orang.” (HR. Muslim, no. 863)
Imam Abu Hanifah dan Muhammad Al-Syaibani
Manakala Imam Abu Hanifah dan Muhammad Al-Syaibani mengatakan bahawa bilangan minima jemaah Solat Jemaah ialah empat orang termasuk Imam. Manakala Abu Yusuf mengatakan bahawa bilangan jemaah solat Jumaat ialah tiga termasuk Imam.
Mazhab Syafie dan Hanbali
Ulama Syafi’iyyah dan Hanbali pula menetapkan syarat minima jemaah Solat Jumaat ialah 40 orang. Pegangan ini disandarkan kepada riwayat daripada Abd Al-Rahman bin Kaab bin Malik yang menceritakan bahawa jumlah solat Jumaat pertama di Madinah adalah seramai 40 orang.
لأَسْعَدَ بْنِ زُرَارَةَ قَالَ لأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ جَمَّعَ بِنَا فِى هَزْمِ النَّبِيتِ مِنْ حَرَّةِ بَنِى بَيَاضَةَ فِى نَقِيعٍ يُقَالُ لَهُ نَقِيعُ الْخَضِمَاتِ. قُلْتُ كَمْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ قَالَ أَرْبَعُونَ.
“As’ad bin Zararah adalah orang pertama yang mengadakan solat Jumaat bagi kami di daerah Hazmi An Nabit dari harrah Bani Bayadhah di daerah Naqi’ yang terkenal dengan Naqi’ Al Khadhamat. Saya bertanya kepadanya, “Waktu itu, ada berapa orang?” Dia menjawab, “Empat puluh.” (HR. Abu Daud no. 1069 dan Ibnu Majah no. 1082. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis tersebut hasan)
40 orang ini pula mestilah memenuhi syarat wajib Jumaat iaitu lelaki, baligh, bermastautin serta bilangan tersebut berkekalan hingga akhir Jumaat.
Justeru, dapatlah kita mengambil faham bahawa keputusan yang telah diputuskan oleh pihak pemerintah secara umumnya mahupun pihak berkuasa agama negeri masing-masing berkenaan bilangan minima jemaah Solat Jumaat adalah berasas dan masih dalam ruang lingkup pendapat yang benar. Wallahua’lam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Rumasyho.com
No comments: