5S Bantu Perkembangan Psikologi Anak-anak Supaya Lebih Stabil
5 tahun awal tumbesaran kanak-kanak adalah sangat penting kerana ia dianggap sebagai ‘tapak asas’ yang dapat membentuk dan mempengaruhi perkembangan, pembelajaran, serta pembangunan seseorang manusia.
Kajian menunjukkan bahawa 3 tahun pertama kehidupan adalah di mana perkembangan otak berlaku sangat pesat. Otak manusia telah menghasilkan 1 juta saraf neuron yang saling berhubung bagi setiap satu minit. Bukan itu sahaja, sistem ini turut dibina dengan gabungan pembentukan diri secara semulajadi (nature) iaitu genetik dan juga pengaruh persekitaran (nurture).
Disebabkan itu, sangat penting untuk memastikan kanak-kanak membesar dalam keadaan persekitaran yang stabil supaya mereka dapat melalui perkembangan emosi dan psikologi yang positif. Ibarat menanam anak pokok, penjagaannya perlulah secara konsisten supaya ia tumbuh subur.
Justeru, kami memetik dan mengulas semula perkongsian Dr Rozanizam Zakaria di saluran Youtube miliknya tentang 5s yang diperlukan oleh anak-anak untuk melalui perkembangan emosi dan psikologi yang stabil.
#1- Safe (Selamat)
Anak-anak perlu berasa selamat dari segi fizikal. Jadi, suasana keluarga mestilah selamat. Masalah penderaan dan pengabaian tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan menjadi penghalang kepada perkembangan psikologi dan emosi yang positif.
Keluarga sepatutnya menjadi tempat anak-anak mendapat perlindungan, perhatian dan kasih sayang.
#2- Secure
Secure juga adalah rasa selamat namun secara emosi. Rasa secure ini dapat dicapai apabila ibu bapa mampu untuk memahami, mendengar dan berinteraksi dengan keperluan emosi anak-anak. Ia dapat mengukuhkan rasa percaya antara anak-anak dan ibu bapa.
#3- Sooth (Menenteramkan)
Anak-anak perlu rasa tenang dan tenteram ketika membesar. Perkara ini dapat diwujudkan oleh ibu bapa dengan cara menjadi pembantu dan pembimbing dalam mengendali dan menguruskan emosi mereka.
Kadang anak-anak akan melalui emosi yang pelbagai – mereka akan marah, sedih dan gembira. Pada waktu inilah, ibu bapa perlu berada di samping mereka untuk membimbing mereka tentang cara mengurus emosi tersebut.
#4- Seen (Dilihat dan Diperhatikan)
Rasa dilihat dan diperhatikan di sini bukan hanya melihat kosong sahaja, tetapi perlu ada interaksi yang terjalin antara ibu bapa dan anak-anak.
Caranya adalah dengan memberikan pujian serta galakan apabila anak-anak melakukan sesuatu perkara. Pujian dan galakan ini penting bagi membentuk rasa yakin dengn diri sendiri. Ia dapat membendung rasa insecure (tidak selamat) kepada persekitaran dan orang sekeliling yang dapat menjadi benih kepada banyak masalah mental.
#5- Spiritually Guided (Mendapat Bimbingan Spiritual)
Banyak kajian yang telah membuktikan bahawa aspek spiritual juga dapat memberi pengaruh positif kepada diri seorang manusia. Anak-anak memerlukan bimbingan spiritual supaya mereka lebih matang dan mudah menstabilkan emosi apabila berhadapan dengan konflik. Hal ini kerana, adanya aspek kepercayaan, rasa syukur serta berterima kasih yang sering diamalkan.
Kesimpulan
Ibu bapa perlu memahami bahawa usaha mendidik anak-anak supaya menjadi individu yang sihat secara fizikal, emosi dan psikologi perlu bermula sejak kecil. Berusahalah untuk ambil tahu keperluan emosi dan psikologi terutama sepanjang awal tumbesaran dengan membanyakkan bahan bacaan serta melihat kupasan-kupasan daripada pakar kanak-kanak, pakar psikiatri dan juga psikologi. Ini juga tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa selain keperluan fizikal yang lain.
No comments: