Ads Top

Tidak Sempat Menggantikan Puasa Kerana Mengandung, Menyusukan Anak Atau Sentiasa Sakit?

Seorang wanita yang mengandung dan perlu menyusukan anak diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan. Ia merupakan keringanan yang diberi kepada golongan hawa kerana beratnya beban yang perlu ditanggung kala itu.

Puasa berkemungkinan boleh mendatangkan keletihan yang amat sangat kepada si ibu atau mengurangkan susu yang dapat diberikan kepada anak.

Kebenaran ini didasari kalam Nabi SAW. Daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

Maksudnya: “Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.” (Riwayat al-Tirmizi, no.715 dan Abu Daud, no.2408)

Kemudian mereka wajib menggantikan (qadha) semula puasa tersebut sebelum masuk Ramadan pada tahun hadapan.

Walau bagaimanapun ada pula keadaan dimana seorang wanita ditimpa keuzuran seperti mengandung lagi atau perlu menyusukan anak – sehingga dia tidak sempat menggantikan puasa. Keuzuran seperti ini dipanggil uzur syarie yang dibenarkan dalam Islam. Antara keuzuran lain yang turut dikira seperti sakit yang berpanjangan dan sentiasa bermusafir.

Syeikh Muhammad Al-Zuhaili turut menuliskan dalam Kitab Al-Mu’tamad fi Al-Fiqh Al-Syafie (2/200) bahawa:

“Jika seseorang itu melewatkan qadha puasa Ramadan kerana suatu keuzuran, seperti sakitnya yang berpanjangan, menyusukan, mengandung, atau sentiasa musafir, sehingga masuk ke Ramadan lain, maka tidak wajib fidyah akibat kelewatan ini, dan wajib qadha sahaja” (Dipetik daripada Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan)

Justeru, dalam keadaan ini wanita tersebut tidak dikenakan denda membayar fidyah kerana alasannya bukan dibuat-buat. Dia barangkali telah mendapatkan nasihat doktor sehingga jelas keadaan dirinya sama ada boleh berpuasa atau tidak.

Namun jika tidak mempunyai apa-apa keuzuran, atau melambat-lambatkan sehingga tidak sempat menggantikan, barulah dianggap berdosa dan diwajibkan untuk membayar fidyah dalam kadar satu cupak makanan ruji tempatan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.