Ads Top

Sebelum Mengeluh, Pandanglah Ke Hadapan Dan Bersyukurlah

Penularan wabak COVID-19 menjadi tanda tanya, adakah ia akan berakhir dalam masa yang terdekat ini atau berapa lama lagi masa yang diambil untuk situasi ini sembuh.

Menjadi kebimbangan semua apabila melihat statistik wabak ini yang menunjukkan graf yang tinggi dari hari ke hari dengan bilangan kematian yang sentiasa bertambah dan juga kemasukan pesakit yang dijangkiti wabak ini.

Namun, dalam mengubat sedikit kerisauan yang melanda hari ini, usaha pihak Malaysia dalam menangani masalah-masalah yang merisaukan rakyat kelihatan telus tanpa mengenepikan mana-mana pihak.

Jika sebelum ini, pasukan barisan hadapan bertungkus-lumus merawat mereka yang terkena wabak ini, anggota PDRM dan ATM juga dikerah bagi memastikan rakyat berdisiplin dalam mematuhi arahan pihak berkuasa.

Kerajaan juga memberikan bantuan one-off kepada rakyat dengan membekalkan bantuan kewangan kepada semua pihak yang berkelayakan. Tidak cukup dengan itu, banyak lagi kemudahan lain yang boleh meringankan beban rakyat seperti membekalkan internet percuma kepada semua pengguna talian.

Beberapa agensi lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengumumkan diskaun ke atas bil elektrik selama enam bulan bermula April sehingga Disember termasuk kepada rakyat dan juga sektor-sektor perniagaan.

Apabila dilihat pada berita-berita yang tular di media sosial, bukan sahaja kerajaan yang bertungkus-lumus membantu rakyat, namun semua pihak.

Daripada mereka yang tinggal di bandar sehinggalah yang berada di luar bandar dan tidak dilupakan kepada golongan gelandangan dan juga masyarakat orang Asli yang jauh di pedalaman, semuanya tidak ditinggalkan kesepian.

Banyak agensi, NGO dan pertubuhan-pertubuhan sendiri yang membantu membekalkan kewangan serta bahan asas kepada mereka yang memerlukan dan kebanyakannya hasil daripada kutipan dana yang telah dilakukan.

Betapa pemurahnya rakyat Malaysia yang berada di sekeliling kita, semuanya sedang memainkan peranan masing-masing untuk membantu berdasarkan kemampuan dan kudrat yang ada.

Apabila dilihat di negara-negara luar dengan berita-berita yang dikeluarkan sama ada ia berbaur negatif atau positif, terlalu jauh sekali untuk kita bandingkan dengan apa yang kita sedang alami di sini.

Sudah banyak inisiatif yang dilakukan kerajaan dan akan terus difikirkan bagi membantu rakyat. Jadi, apa tugas kita sebagai rakyat yang mendiami bumi ini? Adakah masih berdegil dan sombong?

Tidak adil rasanya jika kita hanya mempertikaikan apa yang dilakukan tanpa menzahirkan rasa syukur sedikit pun ke atas nikmat yang ada pada hari ini.

Apabila melihat akan baiknya orang-orang kita hari ini, rasa bertuah menyelubungi diri kerana kita dilahirkan di sebuah tempat yang aman. Tiada ujian peperangan atau ditinggalkan di belakang pada saat ini. Malah, ujian yang paling nyata ialah adakah kita telah bersyukur?

Dari Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang diberi pemberian, maka hendaklah dia membalasnya dengan itu pula. Kalau tidak, maka dengan memuji sebab dengan memuji bererti telah bersyukur dan sesiapa yang menyembunyikan (kebaikan orang padanya) bererti dia telah kufur (nikmat).” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4813)

Sama ada anda dari golongan yang kaya, kurang berkemampuan, warga emas, mahasiswa yang terkandas di IPT, masyarakat orang Asli mahupun warga asing, semuanya diambil perhatian yang serius untuk membantu anda meneruskan kelangsungan hidup dan memastikan agar kita semua mampu keluar daripada babak wabak ini dengan jayanya.

Apa yang penting, ucaplah syukur dan berhentilah merungut. Sebelum merungut, pandanglah ke hadapan dengan nikmat yang tidak terkira yang telah sampai kepada anda dan lihatlah di belakang serta orang sekeliling anda yang masih menanti sedikit nikmat untuk hidup.

Jadi, sudahkah anda mengucapkan syukur untuk hari ini dan hari-hari semalam?




No comments:

Powered by Blogger.