Ads Top

Kendalikan Stres Bersama Pasangan Dengan Bijak Dikala Kuarantin

Apabila kita berada di dalam situasi gawat seperti Perintah Kawalan Pergerakan yang dititahkan oleh Perdana Menteri Malaysia selama hampir sebulan, tentulah ada segelintir daripada kita yang mengalami kesukaran disebabkan pelbagai faktor.

Antaranya adalah disebabkan oleh punca pendapatan mengikut hari, ada golongan yang kelas ekonominya rendah dan ada yang mengalami kesan psikologi akibat keadaan rumah yang sempit dan pelbagai lagi.

Menurut Dr John Gottman dalam bukunya “7 Principle For Making Marriage Work”, beliau memasukkan salah satu cara untuk mewujudkan kestabilan dari segi emosi dalam perhubungan, iaitu pasangan mestilah ada satu masa tersendiri yang dikenali sebagai separate time.

Masa tersendiri ini boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti bekerja, bersosial dengan rakan, bersukan dan akhirnya kembali ke rumah. Barulah wujudnya kerinduan dan tenaga yang baru untuk berkomunikasi dengan pasangan.

Apabila kita sentiasa berada di rumah, kebosanan akan mula menerpa. Kelesuan mental dan fizikal yang kurang aktif, malah banyak menghabiskan masa dengan melayari internet sehingga berlebihan juga boleh mengundang kepada keletihan emosi.

Jay Shetty menyifatkannya sebagai junk media seperti makanan segera yang nampak menyeronokkan tetapi boleh mendatangkan kelesuan dan kesakitan pada tubuh badan.

Lalu, bagaimana cara untuk kita berdepan dengan masalah kuarantin di rumah bersama pasangan dengan gaya yang sihat dari segi emosi dan mental? Kali ini saya ingin mengupas sedikit kaedah daripada perspektif psikologi.

#1 – Belajar Menerima Hakikat Mengenai Wabak

Semua orang tentu tidak seronok apabila negara yang didiami mengisytiharkan kawalan pergerakan yang ketat apatah lagi jika darurat. Hal ini menyebabkan kekangan dari segi pergerakan sosial seperti penutupan premis perniagaan yang bersektorkan hiburan dan sosial sementara waktu.

Lalu, aktiviti yang selama ini kita lakukan untuk membantu menangani stress tidak lagi boleh dilakukan dalam tempoh yang agak lama.

Maka, perkara pertama yang perlu kita lakukan dengan pasangan adalah duduk bersama-sama. Tataplah wajah masing-masing dan berbicaralah mengenai situasi terkini serta belajar menerimanya dengan hati yang terbuka.

Dalam waktu ini, kalian boleh merancang rutin baru yang boleh dilakukan bersama di rumah seperti mencuba masakan yang unik, pengagihan kerja rumah, ada waktu untuk bersantai seperti menonton Netflix atau apa sahaja medium hiburan yang boleh dilayari dengan internet. Make it fun!

#2 – Guna Kata Ganti Diri “saya” Ketika Hendak Menyuarakan Keperluan Emosi Diri

Menurut pakar psikologi perhubungan iaitu Dr John Gottman, apabila kita terjatuh ke dalam kancah konflik seperti pergaduhan kecil, gunakan kata ganti diri “saya” dalam menyatakan ketidakpuasan hati.

Apabila keperluan emosi tidak dipenuhi, penggunaan ini boleh membantu melembutkan sedikit keadaan yang tegang itu daripada bertukar menjadi bara.

Kita boleh mengeluh, namun kurangkan kritikan yang berfokus pada si dia secara langsung. Hal ini kerana ia boleh membuatkan si dia terperangkap di dalam situasi mempertahankan diri, lalu tiada siapa yang akan mengalah dan menyelesaikan masalah.

Lebih baik kita berterus terang bagaimana ketidakpuasan itu boleh timbul. Perbuatan itu akan membantu pasangan memahami pada bahagian mana yang mungkin dia terlepas pandang.

#3 – Mendengar Keluhan Pasangan Tatkala Wabak Melanda

Wabak Covid-19 sememangnya membuatkan ramai yang berasa bimbang seperti takut akan ancaman kesihatan dan yang lebih merisaukan semua ialah masalah ekonomi negara dan rakyat yang boleh merudum akibat wabak ini.

Manusia semakin kurang melakukan aktiviti perniagaan serta sosial dan situasi inilah yang boleh membuatkan aliran tunai di peringkat individu sehinggalah negara boleh terbantut.

Sudah tentulah ini merisaukan banyak pihak. Maka, kita sepatutnya duduk dengan pasangan dan dengar akan setiap rintihan dan keluh kesah yang difikirkan.

Dalam masa ini, kita perlu tanamkan rasa empati dan nilai-nilai memahami pandangan orang lain agar si dia tidak merasa bahawa hanya dia seorang sahaja yang sedang mengalami perasaan itu sebaliknya semua orang. Tunjukkan bahawa semua masalah itu akan diharungi bersama.

Kadangkala, ada sesetengah pasangan yang kononnya mendengarperkara yang dibualkan, namun hakikatnya tidak. Seseorang itu kurang memberi tumpuan emosi seperti mengalihkan pandangannnya ke papan skrin telefon atau internet sambil mengangguk sahaja.

Hal ini yang perlu dielakkan agar pasangan tidak merasa sunyi dan berseorangan walaupun secara fizikalnya anda sedang berada di hadapan matanya.

#4 – Berikan Ruang Antara Satu Sama Lain

Kata Dr Schroeder, dalam usaha untuk mengekang wabak Covid-19 ini, kita perlu amalkan jarak sosial dari segi emosi juga. Hal ini kerana, bukan sahaja keselamatan fizikal yang perlu dijaga, namun juga kesejahteraan mental.

Setiap orang memerlukan ruang yang tersendiri. Terlalu rapat juga tidak bagus kerana ia boleh merimaskan pasangan. Manusia perlukan waktu tertentu untuk merehatkan mentalnya daripada kebisingan pendapat orang lain atau masalah-masalah lain yang perlu difikirkan.

Manusia memerlukan tidur yang cukup serta waktu bertafakkur yang betul bagi menstabilkan emosi yang kadangkala agak berkecamuk dengan berita-berita yang kurang menyenangkan mengenai wabak saban hari.

Setiap agama ada cara meditasinya yang tersendiri. Bagi yang beragama Islam, kita ada cara untuk berzikir secara bersendirian. Ini adalah terapi untuk membangunkan jiwa yang sedang lemas dan lesu.

#5 – Hidupkan Suasana Romantik Sentiasa

Dr Ortega mencadangkan agar tarikh-tarikh penting ketika awal perkenalan dahulu sentiasa diingatkan antara satu sama lain.

Dalam waktu ini, kita mungkin tidak boleh pergi ke tempat-tempat luar, namun kita boleh sama-sama mencipta situasi yang romantik seperti meja makan malam dan seumpamanya hanya dengan berada di rumah.

Buat kejutan dan perkara-perkara yang boleh menghilangkan tekanan seperti menonton rancangan-rancangan berbentuk komedi, menonton filem yang diminati bersama serta bergurau-senda akan perkara-perkara kecil yang boleh diterima antara satu sama lain.

#6 – Sentiasa Fikir Positif Bahawa Wabak Ini Akan Berakhir

Beritahu pasangan tentang sejarah wabak demam Spanish dan Eropah pada tahun 1918 dan bacakan juga kepadanya sejarah wabak H1N1 dan SARS yang pernah juga diisytiharkan sebagai pandemik oleh WHO.

Dengan ini, pengetahuan sejarah-sejarah penyakit boleh membantu meyakinkan pasangan bahawa apa yang dilalui hari ini hanyalah ujian sementara buat kita semua.

Sudah menjadi lumrah manusia, sebagaimana juga apa yang berlaku pada Nabi SAW ketika Baginda ditimpa ujian yang berat, Baginda akan merujuk ayat-ayat al-Quran yang menceritakan dasyatnya penderitaan para anbiya’ terdahulu bagi mendapatkan sokongan motivasi dan moral.

Rujukan:
Love In The Time of Coronavirus – 6 Tips to Protect Your Marriage While Quarantined




No comments:

Powered by Blogger.