Ads Top

Kekalkan Common Sense Anda Di Saat Kehidupan Mencabar

“Jangan lah potong barisan, tak kesian ke kat orang lain? Tak ada common sense betul!”

Common sense. Inilah perkataan yang akan disebut apabila berlaku sesuatu yang kita kira di luar norma dan pertimbangan minda kebiasaan.

Menariknya perkataan common sense ini, ia selalu digunakan oleh ramai orang bagi menggambarkan tindakan atau perlakukan yang tidak sesuai dilakukan pada sesuatu keadaan.

Contohnya, tidak memberi tempat duduk kepada warga emas yang sedang berdiri di dalam bas.

Atau keluar bersama rakan sekelas yang mempunyai kereta sendiri namun tidak pernah pula menghulurkan duit minyak.

Walau bagaimanapun, untuk menterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu terasa sedikit janggal dan sukar. Mungkin kerana saya belum cukup arif dengan kekayaan kosa kata Melayu untuk memaknakan perkataan common sense ini.

Tetapi seorang pengkaji dan penulis, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil menyebutkan bahawa,

“Common sense itu jika dibahaskan dari aspek falsafah memang panjang lebar diskusi mengenainya. Tetapi cukuplah saya ringkaskan iaitu suatu PERSEPSI yang dikongsi bersama oleh kebanyakan manusia akan betulnya penilaian mereka terhadap sesuatu itu.”

Bermakna, ia adalah suatu kesedaran bersama, tentang baik buruk – sesuai atau tidak sesuatu perkara. Ia dibentuk dengan pengalaman dan pengamatan terhadap perkara di sekeliling.

Jika dahulu saya percaya common sense ini diajar melalui pesanan orang-orang tua, diajar adab dan tatasusila sepatutnya dalam pergaulan sehari-hari, sehingga akhirnya ia menjadi budaya bersama. Ia membentuk cara fikir dan peribadi yang bersifat kolektif.

Natijahnya, seorang yang mempunyai common sense akan menjadi lebih prihatin dan sensitif dengan perkara sekeliling.

Profesor Ben C.Fletcher, seorang pengkaji dalam Occupational Stress and Behavior berkata bahawa common sense adalah cara kita menguruskan isu dan masalah, bagaimana kita mengurus fikiran, kepercayaan, sikap serta bagaimana kita berhadapan dengan orang lain.

Ia juga melibatkan bagaimana kita mengambil kira sensitiviti di sekeliling, kemampuan untuk mengendalikan pelbagai jenis masalah, cuba memahami perspektif orang lain, tahu bagaimana untuk menggunakan emosi mengikut kesesuaian, fleksibel dan mampu beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan perangai orang di sekeliling.

Namun kadang-kadang kita melihat ramai orang hilag sensitiviti atau common sense apabila ditekan dengan masalah hidup.

Lihat sahaja bagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan kita berbelanja secara melampau, membeli berlebihan sehingga orang yang datang kemudian tidak sempat mendapatkan barang yang diperlukan.

Pembekal barang pula tidak mahu berkompromi dengan peniaga-peniaga kecil – bayaran tidak boleh dibayar secara ansur. Tuan kedai pula menekan penyewa supaya membayar sewa dan tidak memberi sebarang ruang untuk berbincang, sedangkan perniagaan langsung tidak dapat berjalan.

Itu belum dikira dengan kata-kata yang tidak dijaga di media sosial – saling tuduh menuduh dan iri hati dengan bantuan yang diberikan kepada golongan yang memerlukan. Kita hilang common sense dan hanya fikirkan diri sendiri semata-mata.

Sedarlah, pada saat ini, semua orang sedang bergelut dengan kehidupan masing-masing. Dan kita tidak akan tahu bagaimana rasanya selagi tidak berada di tempat mereka. Jika tidak mampu berasa kasihan dan empati, usah ditambah lagi keperitan dengan kata-kata yang tidak ada common sense dan menyakitkan hati.

Jika kanak-kanak melakukan kesalahan yang disebutkan di atas, kita masih boleh memberi alasan bahawa mereka kurang pengalaman dan kurang terdedah dengan dunia luar. Namun jika orang dewasa melakukannya, apa lagi yang boleh dijadikan alasan selain keengganan diri sendiri untuk memahami. Jadi ayuh, kita lihat apa yang boleh dilakukan untuk membina common sense dalam diri.

#1- ‘Pause’ Sekejap Dan Lihat Apa Yang Orang Lain Lakukan

Kadang-kadang kita bertindak dalam mode autopilot. Kita kurang berfikir dengan mendalam dan hanya melakukan tindakan begitu sahaja.

Apa kata cuba latih diri untuk ‘pause’, berhenti sekejap dan perhatikan sebarang tindakan yang dilakukan orang lain sewaktu berurusan dengan orang di sekeliling mereka. Lihat bagaimana cara rakan kita mendengar dan ‘meminjamkan telinga’ saat kita bercakap dengan mereka. Lihat kerut wajah mereka, saat mereka mengangguk dan saat mereka bercakap memberikan nasihat.

Lihat pula bagaimana cara rakan serumah berkongsi makanan yang dimasak kepada kita. Bagaimana mereka tolong mengangkat baju kita di jemuran apabila hari hujan.

Lihat pula bagaimana ibu melayan permintaan kita yang mengidam makanan tertentu apabila balik bercuti di rumah.

‘Buka mata’ anda dan ‘lihat’.

#2- Fikir (Refleksi)

Setelah anda ‘melihat’, cuba lakukan pula refleksi – proses berfikir secara mendalam tentang apa yang boleh dipelajari.

Bagaimana ibu boleh begitu baik melayan kerenah kita dari kecil hingga besar?

Mengapa rakan serumah sangat prihatin mengangkat jemuran aku walau tidak disuruh? Bagaimana aku boleh jadi prihatin seperti itu?

Mengapa rakan kita masih sanggup mendengar sedangkan dia juga mempunyai masalah lain yang perlu difikirkan?

Daripada persoalan ini, ia dapat membantu kita untuk melihat dan berfikir dengan lebih jelas tentang kebaikan yang dilakukan oleh orang lain. Kita juga dapat belajar untuk melakukan perkara yang sama.

#3- Cuba Nilai Perspektif Daripada Sudut Pandang Orang Lain

Cara ketiga yang boleh dilakukan adalah dengan menilai suatu perkara daripada perspektif orang lain. Caranya adalah dengan mengenepikan sekejap penilaian kita dan bayangkan bagaimana rasanya jika kita berada di tempat dia dan diperlakukan dengan buruk.

Common sense bukan suatu yang sudah ada dalam diri setiap orang sejak dilahirkan. Bahkan kita lahir dalam keadaan kosong dan tidak mengerti apa-apa. Kemudian kita belajar memahami dunia. Apa yang silap adalah kita menganggap bahawa proses pembelajaran sudah terhenti apabila kita telah dewasa, mula bekerja dan ada kehidupan sendiri.

Pembelajaran tentang kehidupan dan dunia yang kita huni masih berterusan sebenarnya. Justeru, teruskanlah belajar tentangnya. Semoga kita mampu menjadikan kehidupan ini lebih indah dan bahagia. Semoga kita mampu menjadi sebab kepada seseorang untuk kembali kuat dan tersenyum menempuh hari-hari mereka.




No comments:

Powered by Blogger.