Ads Top

Bolehkah Berpuasa Pada Pertengahan Bulan Syaaban

Bulan Syaaban merupakan pecutan terakhir untuk anda menggantikan puasa sama ada yang tertinggal kerana sengaja mahupun tidak.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh melatih diri untuk menghadapi bulan Ramadan dengan mengamalkan puasa sunat pada bulan ini sebagaimana sunnah Baginda SAW yang tidak pernah ditinggalkan.

Daripada ‘Aisyah RA, beliau berkata – “Terkadang Nabi SAW puasa beberapa hari sampai kami berkata, Baginda tidak pernah tidak berpuasa dan kadang-kadang Baginda tidak puasa terus sehingga kami berkata: “Baginda tidak melakukan puasa. Dan aku tidak pernah melihat Nabi SAW berpuasa sebulan penuh kecuali di bulan Ramadan. Aku juga tidak melihat Baginda berpuasa yang lebih ketika di bulan Syaaban.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1969)

Justeru, dapat kita faham bahawa salah satu sebab mengapa dianjurkan berpuasa pada bulan Syaaban ialah sebagai latihan untuk menghadapi bulan Ramadan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbahasan ulama berkenaan hukum melakukan puasa apabila telah sampai pertengahan bulan Syaaban. Hal ini kerana, mereka berpendapat bahawa pada waktu ini, umat Islam sepatutnya bersedia untuk menghadapi puasa Ramadan dengan merehatkan diri daripada puasa Syaaban.

Apakah Hukum Puasa Selepas Pertengahan Syaaban

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُوْمُوْا

Maksud: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaaban, maka janganlah kalian berpuasa.”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud (2337), Imam tirmizi (1651) dan ramai lagi. Maksud hadis ini ialah umat islam tidak boleh berpuasa apabila telah tiba separuh pada bulan Syaaban.

Walau bagaimanapun, jumhur ulama berselisih pendapat mengenai hukum hadis ini. Sebahagiannya berpendapat bahawa ia adalah sahih dan sebahagian yang lain pula berkata bahawa ia adalah hadis yang daif.

Imam Ahmad, Imam al-Athram, Abdulrahman bin Mahdi dan Abu Zur’ah mengatakan bahawa status hadis ini adalah daif.

Hadis ini adalah bercanggah dengan hadis sahih yang pernah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Janganlah kamu mendahulukan Ramadan dengan sehari berpuasa atau dua hari.” (Hadis Rwiayat Muslim, no. 1821)

Bahkan, mereka berpendapat bahawa larangan berpuasa di dalam hadis di atas adalah ditujukan kepada orang yang tidak biasa berpuasa.

Mazhab Syafi’e melalui Kitab al-Mu’tamad menyebut bahawa berpuasa pada pertengahan bulan Syaaban adalah haram atau makruh bagi sesiapa yang tidak biasa berpuasa.

Kesimpulan

Larangan berpuasa pada pertengahan bulan Syaaban adalah untuk mereka yang tidak biasa berpuasa sahaja. Buat mereka yang sudah biasa, maka dibolehkan sama ada untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau puasa Hari Putih.

Begitu juga buat mereka yang masih belum selesai menggantikan puasa, maka digalakkan berpuasa sebelum datangnya Ramadan.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.