Ads Top

Hukum Melanggar Arahan Larangan Solat Berjemaah Di Masjid

Kita sudah memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan yang dilakukan untuk mengekang pandemik COVID-19 daripada terus merajai kehidupan kita.

Adapun, masih terdapat segelintir manusia yang berdegil dan tetap menjalankan kehidupan harian seperti biasa seolah-olah tiada perkara membimbangkan yang berlaku.

Hal ini yang menyebabkan usaha ini menjadi sukar dan menyusahkan semua orang. Ibarat nila setitik, habis susu sebelanga.

Sehingga ke hari ini, masih ada berita-berita yang menyebut pihak berkuasa menahan dan terpaksa mengambil tindakan keras ke atas mereka yang berdegil. Hal inilah yang menyedihkan kita kerana dalam usaha kita meletakkan kerjasama kepada masalah ini, namun tetap ada yang ingkar dan mementingkan diri sendiri.

Apa yang lebih menyedihkan ialah, terdapat mereka yang mempertikaikan usaha pihak kerajaan yang menutup masjid-masjid dan surau dengan menghalang aktiviti keagamaan dan jemaah daripada dilaksanakan.

Baginya, walau ribut dan badai yang mendatang, perintah Allah itu wajib dilaksanakan. Solat berjemaah tetap perlu diteruskan kerana ia merupakan aktiviti keagamaan yang akan mendatangkan pahala berlipat kali ganda dan akan dirahmati Allah.

Tidak disangkal lagi bahawa Baginda SAW amat menekankan umatnya untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid, terutamanya kepada golongan lelaki. Bahkan, pada zaman Nabi SAW juga, Baginda akan memanggil sahabat-sahabatnya yang tidak ikut berjemaah untuk turut serta agar tiada yang ketinggalan daripada meraih pahala besar tersebut.

Namun, apabila melihat kepada situasi sekarang, negara kita, bahkan seluruh dunia sedang dilanda wabak yang boleh mendatangkan bahaya dan keburukan terhadap kesihatan bahkan nyawa.

Bukan anda sahaja yang dikhuatiri akan dijangkiti penyakit ini, namun ia boleh merebak kepada semua orang. Dalam hal ini, anda akan menyusahkan semua orang kerana telah menjadi agen penyebaran wabak ini.

Justeru, arahan pemerintah hari ini adalah dengan mengikut kepada kaedah yang boleh menolak masalah yang lebih besar daripada berlaku.

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَولَى مِن جَلب المصَالِح

Maksud: “Menolak mafsadah (keburukan) adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan.”

Adakah Sah Solat Mereka Yang Ingkar

Buat mereka yang masih lagi berdegil dan menunaikan solat berjemaah di masjid, adakah sah solat mereka dan apa pula hukum terhadap perbuatan mereka?

Sebenarnya, sebarang bentuk arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan pemerintah wajib dipatuhi selagi ia tidak bercanggah dengan syariat Islam atau yang membawa kepada maksiat.

Ia adalah bertepatan dengan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat, maka tidak wajib dengar dan taat (kepada arahan tersebut).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2955)

Syeikh Syihabudiin Al-Qasthallani menyebut – “Ketaatan terhadap arahan-arahan mereka (pemerintah) adalah wajib, dan ini meliputi para pemerintah umat Islam sama ada di zaman Rasulullah dan juga selepas Baginda selama mana suruhan tersebut bukan terhadap perkara maksiat.” (Irsyad al-Sari li Syarh al-Bukhari, al-Qasthallani, 5/119)

Justeru, perbuatan melanggar arahan pemerintah adalah berdosa dan patut dihindari demi kebaikan bersama. Namun, solat yang dilakukan (secara berjemaah) itu tetap sah dan tidak perlu mengqadanya semula.

Kesimpulan

Wajib mengikut semua arahan daripada pihak berkuasa dan pemerintah selagi mana arahan tersebut tidak mengundang kepada maksiat dan melanggar syariat Islam.

Walaupun solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid-masjid itu dihalang buat masa ini, namun masih banyak lagi cara yang boleh kita capai untuk memperoleh ganjaran yang dijanjikan Allah.

Solatlah di rumah bersama ahli keluarga atau rakan-rakan serumah anda dan anda juga boleh mendengar kuliah-kuliah yang disiarkan secara atas talian mahupun di siaran televisyen.

Walau apa pun caranya, Allah Maha Mengetahui niat-niat di hati hambaNya. Semoga amalan kita kali ini juga diterima Allah.

Lagi patuh anda akan arahan pemerintah, lagi cepat episod wabak ini akan selesai, Insya-Allah.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.