Ads Top

Hayati Makna Bacaan Untuk Hadirkan Khusyuk Di Dalam Solat

Bukan mudah untuk khusyuk di dalam solat. Kadang-kadang, pada minit-minit pertama, kita merasakan bahawa kita sudah berjaya fokus sepenuhnya terhadap solat yang didirikan. Namun, rupayanya tidak.

Pada minit-minit terakhir tiba-tiba kita teringat akan kunci rumah yang tertinggal di pejabat. Tiba-tiba juga kita merasa lapar dek terbau nasi lemak di restoran sebelah surau itu. Pelbagai lagi cara yang syaitan lontarkan kepada anak cucu Nabi Adam untuk menghalang kita daripada khusyuk kepada Allah.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Apabila dilaungkan azan untuk solat, nescaya syaitan berlari sehingga terkentut sekira-kira tidak lagi mendengar suara azan. Apabila selesai azan, maka dia datang semula sehinggalah apabila diiqamatkan, maka sekali lagi dia melarikan diri. Sehingga selesai iqamat, dia datang semula dan mewas-waskan dengan lintasan seseorang pada jiwanya. Dia berkata: “Ingat sekian-sekian.” Sehingga akhirnya seseorang itu tidak ingat berapakah bilangan rakaat yang dia lakukan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 608)

Untuk hadirkan perasaan khusyuk di dalam solat, anda sendiri yang bertanggungjawab ke atas diri anda untuk melaksanakannya.

Anda tidak boleh salahkan ibu anda yang sedang memasak tomyam ataupun jiran sebelah anda yang sedang bergaduh dengan suaminya sehingga bising satu flat jika anda tidak khusyuk ketik menunaikan solat.

Mungkin ia adalah salah satu asbab mengapa anda tidak khusyuk, namun khusyuk yang sebenar itu perlu hadir dari dalam diri anda. Perasaan tenang ketika dalam solat itu adalah bergantung kepada hati anda sendiri.

Imam Al-Syaukani mengulas mengenai khusyuk – “Sebahagian ulama memaksudkannya sebagai sebahagian daripada perbuatan hari seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala, sebahagian lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana-sini dan tidak melakukan sesuatu yang sia-sia ketika solat. Tenang, tawaduk (rendah diri), takut dan juga perasaan hina diri.” (Fath al-Qadri, al-Syaukani, 1/977)

Bagaimana untuk hadirkan khusyuk dalam hati? Antaranya ialah dengan menghayati makna bacaan di dalam solat.

Sebelum menghatinya, anda perlu memahami terlebih dahulu maksud ayat yang anda baca. Apa maksud surah Al-Fatihah dan zikir-zikir yang anda ungkapkan setiap hari di dalam solat.

Selepas itu, barulah anda boleh menghayatinya. Mengapa imam-imam di Mekah, Madinah mahupun Palestin mampu mengeluarkan air mata setiap kali mereka solat atau membaca surah-surah tertentu sama ada yang menceritakan mengenai azab mahupun nikmat?

Hal ini kerana, mereka memahami maksud yang dinyatakan dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Ayat al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Menjadi satu bonus buat mereka yang berbangsa Arab atau yang tahu bahasa Arab.

Namun, berganda-ganda pahalanya buat anda yang tiada asas Bahasa Arab tetapi berusaha sedaya upaya untuk memahaminya. Allah melihat setiap usaha hamba-hambaNya.

Kesimpulan

Apabila kita memahami sesuatu perkara yang kita ungkapkan, pasti kita akan lebih peka dan mudah untuk fokus.

Begitu juga keadaannya ketika dalam solat. Jangan ambil ringan akan perkara ini kerana ia merupakan salah satu kunci untuk hadirkan rasa khusyuk, tenang dan rendah diri kepadaNya.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.