Ads Top

Bosan Duduk Di Rumah? Ayuh Top Up Amalan Anda

Apabila dibuka laman sosial, ramai yang meluahkan perasaan masing-masing sepanjang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Ada yang merasa bosan dan mula memuat naik status-status berbaur kesepian dan kesunyian. Ada juga yang telah mula pandai memasak dan mencipta resepi baru yang unik dengan menggunakan bahan-bahan apa adanya. Tidak kurang, ada yang telah berjaya menghabiskan beberapa jilid buku yang telah lama diperam dek tiada masa untuk membacanya.

Pendek kata, segala kreativiti telah terserlah dan berbagai kerenah yang telah kita lihat. Sama ada ia ditonjolkan di media sosial untuk tatapan umum atau tidak, terpulang kepada hak publisiti seseorang. Yang paling penting, masing-masing masih lagi mengikut arahan pihak berkuasa dengan kekal duduk di rumah.

Namun, satu perkara yang kita tidak boleh terlepas pandang dan sia-siakan peluang ketika duduk di rumah ini, iaitu dengan mendekatkan diri kepada tuhan.

Mungkin ramai yang mengadu bosan dan penat memikirkan apa lagi aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengharungi sisa dan baki PKP ini, namun dalam kebosanan kita sebenarnya Allah telah memberikan ruang kepada hambaNya untuk bertafakkur dan mengembalikan manusia kepada fitrah.

#1 – Baiki Fitrah Dan Norma Kehidupan Anda

Apa yang dimaksudkan dengan kembali kepada fitrah? Apabila diimbas kembali gaya hidup anda sebelum terjadinya perintah kawalan ini, adakah gaya hidup yang anda lalui itu sesuatu yang sihat dan boleh dibanggakan?

Jika anda seorang pelajar, pukul berapa anda tidur selepas bersengkang mata stay up sepanjang malam? Bahkan, ada pelajar yang langsung tidak tidur pada waktu malam dan hanya tidur selepas Subuh.

Bagaimana pula dengan mereka yang terlepas Subuh? Mungkin kerana terlalu penat dengan pelajaran atau kerja sehingga lewat malam sehingga matahari di atas kepala, barulah manusia bangun, itupun untuk kembali mencari rezeki dan bukannya menghadap tuhan terlebih dahulu.

Bukan sahaja fitrah dari segi amal ibadat kepadaNya, namun kepada tubuh badan dan alam sendiri. Inilah yang boleh dibaiki sepanjang anda duduk bersahaja di rumah.

Pastikan anda makan pada waktu yang betul, mendapatkan tidur yang berkualiti dan yang paling penting ialah memastikan kesihatan rohani dan fizikal anda dalam keadaan baik.

#2 – Top Up Amal Ibadah

Dalam masa anda membaiki gaya hidup, anda juga boleh top up semula amal ibadah anda yang sebelum ini tidak sempat dilakukan.

Sebagai contoh, jika sebelum ini pukul 10 pagi digunakan untuk waktu minum pagi, anda boleh gunakan ia untuk melakukan solat sunat Dhuha. Tidak lama pun, hanya lima minit sahaja setiap hari.

Anda juga boleh melatih diri untuk tidak meninggalkan solat dan bagi mereka yang sudah cukup solatnya, boleh mendidik diri dengan solat di awal waktu.

Dalam masa yang sama, apabila masa tidur anda telah dibaiki, anda boleh melatih diri untuk bangun bertahajjud kepada Allah.

Buat anda yang susah bangun malam, anda boleh bangun lebih awal sebelum Subuh untuk menunaikan solat Tahajjud. Lama-kelamaan, anda akan terbiasa untuk bangun awal sekali gus boleh bangun pada waktu tiga per empat malam yang merupakan waktu sesuai untuk bertahajud.

Antara ibadah sunat yang boleh dilakukan ialah dengan menunaikan solat sunat qabliah (sebelum) dan ba’adiah (selepas) solat wajib, membaca ayat suci Al-Quran seperti di antara Maghrib dan Isyak serta menonton kuliah dan pengajian agama di atas talian.

#3 – Bayar Hutang Yang Ada Dengan Allah

Ia juga merupakan masa yang tepat untuk anda melatih diri anda dengan membayar hutang-hutang yang tertunggak dengan Allah.

Sebagai contoh, jika anda pernah meninggalkan solat, apa kata ambil ruang ini untuk qada semula kepada Allah. Tidak perlu tergopoh-gapah dengan melakukannya secara drastik.

Anda boleh mengqada solat satu kali pada setiap waktu. Dalam masa yang sama, ia sebenarnya untuk melatih diri anda agar tidak berani meninggalkan solat lagi kerana ia adalah ibadah terbesar yang perlu diambil berat.

Jika anda masih ada lagi hutang puasa, masa inilah anda boleh berpuasa kerana tidak perlu berpenat-penat dengan melakukan kerja lain.

#4 – Ambil Kembali Masa Bersama keluarga

Buat anda yang mungkin seorang yang kuat bekerja dan tidak punya masa bersama keluarga, waktu inilah anda boleh menunaikan hak kepada keluarga anda dengan meluangkan masa bersama.

Mungkin sebelum ini anda jarang pulang ke rumah disebabkan terlalu banyak program di universiti yang disertai atau mungkin juga anda selalu outstation kerana urusan perniagaan yang perlu diselesaikan.

Jadi, dalam waktu inilah anda sepatutnya boleh mengambil masa yang ada untuk bersama dengan keluarga anda.

Walaupun anda sedang jauh di perantauan, namun tiada halangan atau kesibukan lagi yang menjadi alasan untuk anda menelefon bertanya khabar keluarga anda.

Kesimpulan

Dalam kita sedang risau akan wabak penyakit yang sedang melanda, namun jangan kita lupa bahawa kita sudah menghampiri bulan yang paling ditunggu, iaitu Ramadan.

Sama ada Ramadan tahun ini akan menjadi Ramadan yang sama atau berbeza, namun persiapan kita dalam menghadapinya perlulah ditingkatkan kerana ganjaran yang Allah sediakan dalam bulan ini tetap ada.

Jadikan musim kuarantin ini sebagai satu latihan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbaiki amalan dan top up amal kebaikan anda.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Bagaimana Cara Untuk Qada Solat




No comments:

Powered by Blogger.