Ads Top

Bolehkah Melakukan Solat Jenazah Di Kubur

Jika anda tidak sempat menunaikan solat jenazah kepada kenalan mahupun ahli waris disebabkan jenazah yang telah selamat dikebumikan, adakah wujud cara lain untuk menunaikan solat jenazah tersebut?

Buat mereka yang tinggal berjauhan atau mempunyai kekangan untuk menziarah, mereka boleh menunaikan solat jenazah secara ghaib.

Namun, solat jenazah ghaib itu hanya dilaksanakan oleh mereka yang jauh. Buat anda yang mampu pulang untuk menziarah, anda sebenarnya masih boleh melakukan solat sunat jenazah kepadanya, iaitu dengan menyolatkan di kubur almarhum tersebut.

Hukum solat jenazah di kubur itu adalah dibolehkan jika seseorang itu tidak sempat untuk menyembahyangkan jenazah di masjid atau sebelum ia ditanam.

Hal ini adalah berdasarkan beberapa dalil dan peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Baginda SAW, iaitu:

Maksud: “Telah mati seseorang yang Rasulullah SAW selalu menziarahinya, maka matinya pada waktu malam dan dikebumikan juga pada waktu malam. Apabila subuh, mereka menyampaikan khabar tersebut kepada Rasulullah. Lalu Baginda SAW bersabda: “Apa yang menghalang kalian daripada memberitahuku?” Mereka menjawab: “Sudah malam dan gelap dan kami tidak mahu menyusahkan kamu.” Baginda SAW telah pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1247)

Pandangan jumhur ulama pula menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan yang pernah diamalkan oleh Baginda SAW apabila Baginda tidak sempat menunaikan solat sunat jenazah kepada si mati sama ada disebabkan tiada khabar berita atau wujud kekangan lain.

Imam al-Nawawi melalui kitabnya menyebut – “Jika hadir sesiapa yang belum sempat untuk menunaikan solat ke atas jenazah selepas dikebumikan atau berkehendakkan solat ke atas jenazah di negeri yang lain adalah dibolehkan dan tiada khilaf ke atasnya.” (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/247)

Ibn Qudamah al-Maqdisi dari mazhab Hanbali, Imam Al-Mawardi dari mazhab Syafi’e serta sebahagian sahabat lain seperti Saidina Ali, Saidina Umar dan Saidatina ‘Aisyah tidak menghalang akan perbuatan ini.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa hukum asal akan perbuatan ini adalah harus dan dibolehkan jika seseorang itu tidak sempat untuk menunaikan solat sunat jenazah sebelum dikebumikan.

Jadi, buat anda yang ingin menziarahi kubur kenalan atau ahli waris anda dan tidak sempat menunaikan solat sunat jenazah ke atasnya, maka dibolehkan untuk menunaikan solat sunat tersebut di kubur.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Hukum Menunaikan Solat Sunat Jenazah Ghaib

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.