Ads Top

Video Sharul Kamal Azan Merdu Antara Intipati Travelogue Backpackers 2

Bulan lalu, video penyanyi dan pengacara, Sharul Kamal menjadi viral disebabkan kemerduan dan kelunakan suaranya mengalunkan azan.

Video itu dirakamkan ketika Sharul terlibat sebagai hos bagi program Travelogue Backpackers: Mesir pada bulan Januari lalu.

Penerbit program terbabit, Jaja Ishak berkata, video tersebut secara tidak langsung memberikan publisiti positif terhadap rancangan tersebut yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

“Video yang dimuat naik oleh Sharul itu menjadi viral di media sosial sehingga menjadi bualan hangat netizen. Ia dirakamkan ketika kami menjalani penggambaran di Mesir baru-baru ini bagi musim kedua siri program ini.

“Pemilihan Sharul adalah tepat apabila saya memang nampak bakatnya menjadi seorang pengacara yang bagus. Walaupun kita tengok kerjayanya sebagai penyanyi tidak begitu menyerlah seperti rakan-rakan artis Akademi Fantasia yang lain, namun saya dapat lihat karakter dia sebagai hos yang baik.

“Sepanjang penggambaran memang dia tunjukkan komitmen yang sangat bagus malah dia mampu mengalunkan azan dengan baik sekali gus memberi nilai tambah untuk program ini,” katanya.

Travelogue Backpackers: Mesir terbitan Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd. telah menjalani penggambaran dari 26 Januari hingga 14 Februari lalu. Program ini telah menjelajah beberapa wilayah di Mesir bagi memberikan input menarik sepanjang penggembaraan mereka di sana.

Bakal ditayangkan menerusi saluran TV Okey (saluran 109) pada pertengahan tahun ini, program ini diterbitkan sebanyak 13 episod untuk 30 minit siaran tayangan pada setiap episod.

Untuk rekod, Travelogue Backpackers musim pertama menghidangkan penonton dengan keunikan dan kecantikan Balkan yang terletak di kawasan Eropah Selatan. – KopiPlanet.com

The post Video Sharul Kamal Azan Merdu Antara Intipati Travelogue Backpackers 2 appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.