Ads Top

Tun M, Neelofa Kongsi Nasihat Hadapi PKP Dan COVID-19

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi bersama pelakon, pengacara TV dan usahawan terkenal Neelofa menerusi akaun Instagram pagi tadi bagaimana rakyat boleh mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ancaman COVID-19.

Dr Mahathir berkata pada zaman sekarang keadaan komunikasi yang baik dapat membantu rakyat khususnya golongan usahawan untuk melakukan beberapa perkara yang dahulunya tidak dapat dilakukan walaupun hanya berada di rumah sepanjang menjalani tempoh PKP ini.

“Pada zaman sekarang ini, komunikasi begitu baik sehingga kita boleh jual beli dan sebagainya hanya secara atas talian. Kita perlu tukar cara kita bekerja dan saya yakin kalau kita berbuat demikian, kita masih boleh menjalankan sekurang-kurangnya sebahagian daripada perniagaan kita,” jelas Dr Mahathir.

Selain itu, Dr Mahathir memaklumkan sikap disiplin yang baik serta bijak mengawal diri, nafsu dan keinginan dapat membantu Malaysia bangkit daripada penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara selain menjaga kebersihan diri sepanjang masa.

“Kalau kita ikut nafsu, ikut kehendak hati maka kita kan lakukan perkara yang tidak membawa manfaat kepada diri tetapi kalau kita berdisiplin dan kawal kehendak, perasaan maka, kita boleh terima sekatan seperti PKP ini dan kita tahu ini akan tamat akhirnya,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir turut berkongsi dengan Neelofa bagaimana rakyat dapat mengawal dan merancang plan kewangan masing-masing dalam menghadapi situasi seperti sekarang supaya tidak menghadapi sebarang masalah di kemudian hari.

“Dalam keadaan ini, biasanya pendapatan kita berkurangan. Oleh itu, perbelanjaan juga perlu dikurangkan. Ada perkara-perkara yang tidak begitu penting yang boleh ditangguh dan diketepikan. Hanya tumpu kepada perkara yang penting seperti mendapat makanan, perlindungan dan sebagainya.

“Dengan itu, kita buat cara hidup yang baru. Hidup di rumah seolah-olah rumah itu menjadi kedai atau pejabat dengan komunikasi yang baik kita boleh adakan video conference seperti yang kita lakukan sekarang, kita boleh berbincang, bahas dan sebagainya dengan orang lain,” jelas Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata semua masalah dapat diatasi jika kita tidak terlalu memikirkannya dan kekal tenang dalam menghadapinya selepas menjawab pertanyaan Neelofa mengenai bagaimana untuk kekal tenang dan positif dalam menghadapi masalah serta cabaran yang mendatang.

“Kalau fikir kebelakang, kita akan ingat bahawa banyak masalah yang dihadapi tetapi akhirnya akan terdapat solution atau cara mengatasinya. Jika kita terus memikirkan berkenaan masalah sehingga tidak lalu makan dan sebagainya ia tidak membawa kepada resolusi. Adalah lebih baik kita anggap ini perkara biasa dan lambat laun ini akan diselesaikan,” jelas Dr Mahathir.

Sementara itu, Neelofa turut bertanya kepada Dr Mahathir bagaimana beliau mengekalkan ingatan memori yang tajam dan bagus sepanjang perjalanan hidup beliau.

“Kesihatan kita lebih terjamin jika kita aktif. Jika kita letih kita tidur lama itu akan mengurangkan exercise kita. Jadi kita perlu aktif, baca, tulis, dengar, cakap dan sebagainya dan menggunakan segala pancaindera supaya kita tidak jadi lemah kerana tidak menggunakannya  ,” jelas Dr Mahathir.

Program ‘Berseorangan Bersama’ yang berlangsung lebih daripada setengah jam itu bersiaran secara lansung di akaun Instagram milik Neelofa bermula pukul 10.30 pagi dan terdahulu, Neelofa telah mengadakan sesi yang sama bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish dan Rossa sebelum ini.

Sumber: BERNAMA

The post Tun M, Neelofa Kongsi Nasihat Hadapi PKP Dan COVID-19 appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.