Ads Top

Azan Pertama Berkumandang Di Mekah

Sudah banyak hari saya memasang telinga untuk mendengar azan apabila tibanya waktu solat. Ada juga kedengaran azan tapi sayup-sayup dari kejauhan di desa sana. Sebelum #perintahkawalanpergerakan #stayathome, serentak saya boleh dengar azan dari tiga buah masjid dan surau berdekatan.

Pada hari ini, betapa saya terasa rindu menikam sanubari pada suara azan yang menyeru umat manusia untuk mengerjakan solat.

Waktu maghrib semalam, tiba-tiba kedengaran suara seorang kanak-kanak lelaki melaungkan azan di flat tempat tinggal saya ini.

Pada mulanya saya gembira bercampur terharu. Namun kemudian saya marah dan kecewa kerana suara itu lebih kepada berlawak jenaka kanak-kanak. Saya faham, kanak-kanak mungkin tidak mengerti apa yang sedang dihadapi oleh semua umat manusia hari ini.

Betapa ramai umat Islam rindu untuk mendengar suara azan dari surau atau masjid berdekatan melalui pembesar suara yang dipasang di hujung atap.

Kerinduan ini saya fikir turut dirasakan oleh penduduk Islam di Mekah suatu ketika dahulu, saat azan tidak dapat dilaungkan dengan terbuka di kerana masih dalam penguasaan Musyrikin Mekah. Walau bagaimanapun ia menjadi kenyataan saat peristiwa Fathu Makkah atau Pembebasan Makkah yang terjadi pada tahun 8 Hijrah. Azan pertama akhirnya berjaya dikumandangkan.

Bermula dengan berhala-berhala di sekitar Kaabah yang dirobohkan dan dimusnahkan, Rasulullah SAW telah memasuki bangunan Kaabah dengan ditemani oleh Bilal bin Rabah. Apabila Baginda SAW keluar, Baginda SAW telah berdialog dengan beberapa orang pemimpin Quraisy.

Seterusnya tibalah waktu untuk mengerjakan solat zuhur. Pada ketika itu ada kaum Muhajirin yang datang bersama-sama Rasulullah SAW dari Madinah. Juga ada penduduk Makkah, kaum Quraish yang baru memeluk agama Islam yang suci.

Pada detik itu, Rasulullah SAW telah mengarahkan Bilal, bekas hamba abdi dari Habsyah yang telah dimerdekakan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk menyeru manusia mengerjakan solat.

Tanpa menunggu perintah kedua, Bilal yang berkulit hitam itu berjalan menginjak-injak berhala-berhala yang telah dimusnahkan untuk naik ke atas Kaabah.

Bilal naik ke atas binaan Kaabah, meletakkan tangan di telinga, lalu melaungkan ungkapan “Allahuakbar, Allahuakbar.”

Diikuti dengan ungkapan-ungkapan khusus menegaskan kesaksian Allah SWT dan kenabian Muhammad SAW. Semakin ramai orang berkumpul selepas mendengar seruan untuk mengerjakan solat itu. Apatah lagi, Bilal diakui mempunyai suara yang lantang, terang dan merdu. Ribuan pasang mata memandang Bilal dan ribuan lidah menuturkan kalimat azan sebagaimana yang disampaikan olehnya.

Sejak saat itu, Bilal telah dikenali sebagai muazin Rasulullah SAW. Bilal bin Rabah terus menjadi muazin tetap untuk Rasulullah SAW sepanjang hayat Baginda SAW dan namanya telah diabadikan sebagai panggilan gelaran untuk muazin pada zaman ini iaitu ‘bilal’.

Peristiwa bersejarah itu menyaksikan azan menyeru umat Islam mengerjakan solat dikumandangkan buat pertama kalinya di Makkah. Azan adalah seruan kebesaran, seruan tauhid, serta seruan penyatuan. Subhana-Allah.

Merenung semula kepada keadaan sekarang, saya tidak pernah terfikir akan menghadapi situasi yang janggal sebegini – azan dilaungkan tetapi orang ramai tidak dapat ke masjid menunaikan solat jemaah. Marilah kita bersyukur dengan nikmat iman ini. Marilah kita sama-sama panjatkan doa agar Malaysia kembali pulih, dan kita semua sihat sejahtera dan istiqamah dalam beragama.

Semoga suasana yang menimpa ketika ini kembali pulih dan kehidupan kita akan jadi lebih baik dan bermakna selepas ini.




No comments:

Powered by Blogger.