Ads Top

Tabung #MusaadahCovid19 Diteruskan

Tabung Musaadah Covid-19 JAKIM telah dilancarkan pagi ini oleh YB Senator Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad al-Bakri. Proses kutipan dan agihan sumbangan daripada tabung ini sebenarnya telah bermula lebih awal iaitu pada 19 hari bulan lalu bagi membantu orang ramai yang menghadapi kesulitan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui misi #MusaadahCovid19 ini, banyak usaha yang telah dilakukan dan disambut baik oleh pelbagai pihak. Contohnya pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui JAWI Food Bank dengan kerjasama YBhg Datuk Ali Jawahar Ali, Restoran Ali Maju telah menyumbangkan bantuan berupa makanan kepada petugas hadapan (frontliner) di PPUM, KL pada minggu lepas. Hari ini pula Pusat Pungutan Zakat (PPW) telah menyerahkan bantuan zakat khas kepada Institut Kanser Negara (IKN).

Selain itu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan juga bantuan zakat peralatan kesihatan (alat pernafasan) berjumlah RM 155,500 kepada hospital di Wilayah Persekutuan (termasuk Labuan).

Sebanyak RM12.1 juta bantuan zakat khas tambahan juga telah diluluskan dan diperuntukkan kepada sebanyak 24,196 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan akan disalurkan bermula April.

Bukan itu sahaja, agihan sumbangan juga diberikan kepada para pelajar yang terpaksa menjalani tempoh PKP di kediaman asrama melalui #JawiFoodBank.

Manakala Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Yayasan Taqwa MAIWP pula menyampaikan bantuan berupa bahan makanan dan wang tunai berjumlah RM500 kepada 100 orang penerima yang telah dikenal pasti layak oleh Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebanyak 88 buah masjid dan 109 buah surau di Wilayah Persekutuan bersedia membantu kariah masjid yang memerlukan.

Malah Senator Datuk Dr Zulkifli menyeru majlis agama di setiap negeri agar dapat menyambut baik saranan serta mencontohi langkah yang diambil ini bagi membantu orang ramai yang pastinya sangat memerlukan bantuan segera di musim COVID-19 ini.

Orang ramai yang ingin menyumbang juga boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM melalui akaun Tabung Bencana, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) – nombor akaun 16027010001528.




No comments:

Powered by Blogger.