Ads Top

Perlukah Mandi Sunat Hari Jumaat Walau Tidak Menunaikan Solat Jumaat

Mandi pada hari Jumaat merupakan salah satu sunnah yang digalakkan dilakukan. Imam Nawawi menyebut bahawa, disyariatkan untuk mandi sunat hari Jumaat bagi sesiapa yang ingin hadir menunaikan solat Jumaat.

Waktu mandi sunat Jumaat ini adalah bermula pada masuknya waktu Subuh. Walau bagaimanapun, adalah lebih afdal (baik) untuk mandi sebelum mendirikan solat Jumaat (ketika hampirnya waktu atau sebelum ke masjid).

Maksud: “Sesiapa yang hendak mendirikan solat Jumaat, dia hendaklah mandi.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 844)

Namun, terkini YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengumumkan agar penangguhan kesemua aktiviti surau dan masjid perlu dilanjutkan sehingga berakhirnya tempoh PKP berikutan virus COVID-19 yang melanda.

Hal ini termasuk dengan penangguhan solat Jumaat bagi mengelakkan kontak rapat sekali gus memutuskan rantaian COVID-19 ini dan digantikan dengan Solat Zuhur di kediaman masing-masing.

Berikutan dengan itu, adakah masih disunatkan ke atas muslim untuk mandi sunat Jumaat? Mengikut pandangan yang diberikan oleh Mufti Wilayah , amalan ini masih lagi boleh diteruskan oleh kaum muslimin walaupun mereka tidak pergi menunaikan solat Jumaat.

Hal ini kerana, amalan mandi sunat hari Jumaat adalah berdasarkan kepada kemuliaan hari Jumaat sendiri dan bukan dengan ibadat Solat Jumaat.

Antara kemuliaan hari Jumaat lagi ialah membaca surah Al-Kahfi, memakai wangi-wangian, menunaikan solat Jumaat dan juga memperbanyakkan berdoa. Ini adalah antara perbuatan untuk mengagungkan kemuliaan hari Jumaat itu sendiri.

Justeru, mandi sunat hari Jumaat masih boleh dilakukan walaupun anda tidak pergi menunaikan solat Jumaat sama ada disebabkan perintah kuarantin ini atau kerana keuzuran lain.

Bahkan, mandi sunat Jumaat ini disunatkan dilakukan oleh semua orang walaupun tidak wajib ke atas mereka mendirikan solat Jumaat seperti perempuan, musafir dan juga kanak-kanak.

Oleh itu, walaupun ibadah solat Jumaat ditangguh seketika bagi membendung wabak ini, namun jangan dilupa akan amalan sunat yang lain kerana kemuliaan Jumaat ini besar disisiNya. Perbanyakkanlah berdoa kepadaNya agar episod wabak ini segera berakhir.




No comments:

Powered by Blogger.