Ads Top

Ini Falsafah Hamka Mengenai Sederhana

Ada sebahagian manusia yang menuruti hawa nafsunya tanpa memikirkan baik buruknya sehinggakan seseorang itu tidak peduli lagi akan hinaan manusia apatah lagi kutukan dari Allah.

Ada sebahagian manusia lagi yang sanggup membelakangi nafsunya. Dia tidak menurut kehendak nafsunya sehingga kehidupannya tidak dapat merasai kesenangan.

Ada golongan yang melakukan sesuatu bersesuaian dengan keadaan diri. Sebelum diambil keputusan, diukur terlebih dahulu baju di badannya. Jika muat dan sesuai, maka dia akan melakukannya. Jika tidak, dia akan melupakan sahaja hasratnya.

Ada juga golongan yang sanggup berusaha demi mendapatkan kemahuannya. Jika tidak mencukupi, maka akan cuba untuk dicukupkan. Dan jika berlebihan, maka akan cuba untuk dikurangkan.

Banyak lagi golongan manusia di dalam dunia ini yang mempunyai pelbagai ragam. Setiap daripada mereka datangnya daripada didikan dan latar belakang yang berbeza. Justeru, pemahaman mereka mengenai kehidupan adalah berbeza. Ada yang sanggup menyusahkan diri sendiri demi menggapai sesuatu dan ada yang mengambil sikap sambil lewa terhadap sesuatu. Kedua-duanya juga tidak boleh.

Sedangkan, ibadah juga jika dilakukan berterusan tanpa rehat pasti boleh meletihkan diri sendiri. Ada di antara sahabat Rasulullah yang sanggup berpuasa setiap hari tanpa tertinggal walau sehari.

Ada di antara sahabat Rasulullah yang sanggup bangun setiap malam untuk menunaikan solat malam tanpa dipedulikan haknya terhadap isterinya apatah lagi kepada tubuh badannya dengan tidak berehat.

Ada di antara sahabat Rasulullah yang sanggup tidak beristeri kerana ingin menumpukan diri terhadap ibadat kepada Allah semata-mata.

Baginda SAW menasihati mereka dengan berkata – “Hendaklah segala yang berhak ke atas diri kita, maka laksanakanlah haknya. Kita membayar hak Allah dengan menyembahNya. Kita membayar hak perut dengan makan (yang halal). Kita membayar hak bermain dengan tidur (rehat). Kita membayar hak isteri dengan bersetubuh.”

Lalu Baginda berkata lagi – “Imanku lebih teguh. Taqwaku lebih dalam. Hatiku lebih dekat kepada tuhan. Namun, aku sendiri tidak berpuasa secara berterus-terusan. Aku juga makan, minum, tidur dan bersetubuh dengan isteriku.” (Hadis Riwayat Muslim)

Itulah yang dimaksudkan dengan sederhana. Bersederhanalah dalam setiap perkara yang dilakukan bagi menjaga kebajikan diri sendiri dan juga orang sekeliling. Kita hendaklah mengikut jalan yang telah ditentukan oleh Allah dengan berusaha menjadi manusia yang berbudi bagi mencapai kesempurnaan diri.

Bagaimana untuk bersederhana? Ini ialah falsafah Hamka mengenai tahap kesederhanaan dalam kehidupan:

#1 – Sederhana Dengan Niat Dan Tujuan

Sederhana tidak dapat dilihat melalui mata kasar. Ramai yang menyangka, jika seseorang itu berpakaian yang murah atau compang-camping, maka dia adalah yang sederhana hidupnya. Jika kesederhaan diukur pada mata kasar, maka kita tidak akan dapat melihat hakikat sederhana yang sebenarnya.

Besederhana dimulai dengan niat dan tujuan hidup. Tepuk dada, tanya selera anda. Apa yang anda niatkan selama ini? Adakah selari dengan tujuan hidup anda?

Yang paling penting ialah luruskan niat anda dan selarikan ia dengan tujuan hidup anda. Jika anda mahu menjadi kaya, kaya yang bagaimana yang anda inginkan? Adakah kaya yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain atau yang menyusahkan orang lain.

#2 – Sederhana Berfikir

Fikiran yang baik ialah yang dapat membezakan antara yang baik dan juga yang buruk. Berfikirlah secara teratur dan jelas agar fikiran kita tidak memakan diri kita sendiri.

Dewasa ini, ramai yang berfikir tanpa hala tuju. Ramai juga yang merosakkan fikiran sendiri dengan perkara-perkara yang tidak penting. Hal inilah yang menyebabkan lahirnya penyakit-penyakit mental yang boleh menjadi kronik bukan sahaja kepada otak namun tubuh badan sendiri.

Berhati-hatilah dengan fikiran yang tidak lurus atau yang terpengaruh dengan fikiran orang lain. Hanya anda yang mampu membantu fikiran anda sendiri kerana semuanya bermula dari dalam minda anda sendiri.

#3 – Sederhana Dalam Mengeluarkan Perasaan

Cara manusia menyatakan buah fikiran mereka ialah melalui kata-kata dan juga tulisan. Setiap kata-kata adalah bayangan akal. Jika berakal seseorang, maka perkataannya, penulisannya, buah fikirannya juga akan penuh dengan pertimbangan.

Orang yang bijaksana berkata dengan terus-terang tetapi mereka menitikberatkan langkah yang sederhana.

Luqmanul Hakim berkata – “Makanan yang baik adalah lidah dengan hati dan makanan yang busuk juga adalah dengan lidah dan hati.”

Maksudnya, seseorang yang menjaga hati pasti akan menjaga lidahnya. Jika baik hatinya, maka lidahnya akan mengeluarkan kata-kata yang baik. Meski seseorang itu berkata jujur, namun kejujurannya itu mampu membuka hati dan mata orang lain.

Kesimpulan

Tuntasnya, hidup ini mengajar manusia untuk besederhana dalam setiap perkara yang dilakukan. Bermula dengan niat yang perlu diselarikan dengan tujuan akhirnya akan membawa kepada perlakuan yang positif.

Yang paling penting ialah kesederhaan itu wujud bagi melaksanakan hak-hak kita kepada diri sendiri, orang sekeliling dan juga Allah.

Rujukan:
buku Falsafah Hidup oleh Hamka




No comments:

Powered by Blogger.