Ads Top

Bolehkah Petugas Kesihatan Solat Jamak Di Hospital

Penularan COVID-19 telah membuatkan hospital dan pusat-pusat kesihatan dikunjungi orang ramai tanpa henti untuk saringan pemeriksaan dan rawatan. Para petugas kesihatan pula tidak menang tangan memberikan khidmat yang terbaik untuk memastikan mereka sembuh walaupun terpaksa bekerja lebih masa, berjauhan dengan keluarga dan sentiasa berada dalam sut yang panas.

Kadang-kadang ada masanya mereka terlampau sibuk sehingga tidak dapat menunaikan solat pada waktunya. Dalam keadaan begini, sudah pasti ada rukhsah atau keringanan yang tersedia buat mereka.

Adakah Petugas Kesihatan Boleh Solat Jamak

Hal berkaitan hukum jamak bagi para pekerja yang berhadapan dengan kekangan masa seperti doktor pakar bedah pernah dibincangkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun 2017.

Harus hukumnya bagi seseorang doktor bedah untuk menjamakkan solatnya atas alasan kesukaran akibat rawatan dan pembedahan pesakit.

Ia disandarkan kepada kaedah fiqh iaitu:

الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ

Maksudnya: Kesukaran itu mendatangkan kemudahan pada hukum. (Rujuk Asybah wa al-Nazhair, hal. 76)

Manakala menurut Lajnah Daimah Li al-Buhuth wa al-Ifta Arab Saudi mengeluarkan pendapat bahawa:

“Doktor yang telah dikhususkan untuk melaksanakan operasi pembedahan perlu meraikan waktu solat agar dilaksanakan pada waktunya. Namun harus baginya pada keadaan darurat untuk menjamakkan solat secara taqdim atau ta’khir seperti Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isyak, ketika mana datang keadaan darurat.

Adapun bagi solat yang tidak boleh dijamakkan dengan solat selepasnya, seperti Asar (yakni dengan Maghrib) atau Subuh (yakni dengan Zuhur), maka jika mampu hendaklah solat itu dilaksanakan pada waktunya sekalipun perlu digantikan doktor atau petugas dewan bedah bergilir-gilir dan itu lebih baik. Jika tidak mampu maka tidak ada masalah untuk dilewatkan solat dan digantikan solat itu setelah selesai operasi pembedahan. Ini kerana hal darurat yang diberikan rukhsah pada tempatnya.” (Lajnah Daimah Li al-Buhuth wa al-Ifta Arab Saudi)

Dalam Mazhab Syafie (pendapat ulama silam), pendapat yang masyhur dan muktamad bahawa jamak hanya dalam keadaan musafir, ketika hujan dan ketika hari Arafah.

Seiring keperluan yang timbul daripada semasa ke semasa, keharusan jamak solat ini semakin dikembangkan bagi hal-hal lain seperti kesibukan doktor bekerja dan juga pesakit yang menghidapi penyakit kronik. Hukum ini dilihat terpakai juga bagi keadaan petugas kesihatan yang sedang bertungkus lumus dalam merawat pesakit COVID-19 sekarang.

Prinsip Yang Perlu Diikuti

Namun rukhsah ini perlu bergantung kepada prinsip-prinsip berikut:

1. Terdapat ancaman kepada nyawa pesakit atau melambatkan proses penyembuhan jika doktor meninggalkan pesakitnya.

2. Tidak ada pengganti. Jika terdapat doktor atau ahli perubatan yang boleh menggantikan, maka perlu menunaikan solat pada waktunya dan tidak boleh dijamakkan.

Manakala menurut Syeikh Atiyyah Saqr, Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar, dalam fatwanya dihuraikan pendapat daripada Mazhab Hanbali:

“Harus bagi pesakit untuk menjamakkan solat jika sukar baginya solat pada waktunya. Begitu juga bagi wanita yang menyusukan anak sedangkan dia keluar darah istihadah kerana mengelakkan sukarnya hendak bersuci pada setiap waktu solat. Serupa jua dengan orang yang menghidapi kencing tidak lawas. Harus menjamakkan solat bagi orang yang tidak mampu mengetahui awal waktu solat seperti orang buta atau mereka yang tinggal di bawah bumi seperti para pekerja lombong, dan juga mereka yang takut sesuatu yang buruk berlaku pada nyawanya, hartanya, dan maruahnya, atau pun takut suatu mudarat berlaku pada kehidupannya jika dia tidak jamak. Pada demikian itu merupakan satu kemudahan bagi para pekerja yang mustahil bagi mereka untuk meninggalkan tugas mereka bagi menunaikan solat pada waktunya.” (Rujuk Fatawa Dar al-Ifta` al-Misriyyah – 9/55)

Panduan Daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis

Manakala menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Negeri Perlis, bagi petugas-petugas kesihatan dan staf-staf hospital yang merawat kes-kes COVID-19, harus bagi mereka untuk menunaikan solat jamak tanpa qasar dengan panduan berikut:

1. Mengikut hukum asal, wajib melakukan solat pada waktunya selagi mampu dan haram menjamakkan solat tanpa keperluan mendesak atau musafir.

2. Jika keadaan mendesak dan seseorang mampu untuk melewatkan solat Zohor ke penghujung waktu dan solat Asar atau Isyak ditunaikan pada awal waktu, maka cara ini lebih utama. Hal ini dipanggil jamak suri (jamak gambaran) sahaja menurut Mazhab Syafie.

Seseorng akan melewatkan solat pertama ke hujung waktu dan menyegerakan solat yang kedua pada awal waktu. Ia kelihatan seperti jamak kerana jarak masa yang dekat tetapi sebenarnya dalam satu waktu.

3. Jika tidak mampu melakukan jamak suri tadi, dibolehkan untuk menunaikan solat Jamak (tanpa qasar) sama ada jamak takdim atau ta’khir, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian kakitangan yang bertugas.

4. Ia dilakukan kerana keadaan terdesak dan kesukaran yang sememangnya telah berlaku atau dijangka berlaku dengan kepercayaan yang kuat bukan kerana bermudah-mudah dalam agama atau sangkaan tanpa bukti.

Ini berdasarkan hadis riwayat Ibn Abbas yang berkata :

صَلَّى رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بالمَدِينَةِ، في غيرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ

Terjemahannya : Nabi ﷺ pernah solat Zohor dan Asar kesemuanya di Madinah tanpa ada rasa takut dan musafir.

Apabila ditanya kenapa baginda melakukan begitu, Ibn Abbas RA menjawab :

أَرَادَ ألَّا يُحرِجَ أُمَّتَه

Terjemahannya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya. (HR al-Imam Muslim)

Solat adalah kewajipan yang tetap perlu ditunaikan dalam apa jua keadaan. Islam tidak memberatkan seseorang malah dalam keadaan yang sukar dan mendesak tetap ada keringanan yang tersedia. Semoga panduan ini dapat membantu barisan wira negara di luar sana, petugas kesihatan yang sedang bertungkus-lumus berusaha menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.




No comments:

Powered by Blogger.