Ads Top

Bolehkah Makmum Berzikir Dalam Solat Ketika Imam Membaca Surah

Bacaan yang dibenarkan dalam solat ada beberapa iaitu bacaan Al-Quran, zikir dan juga doa (dalam bahasa Arab). Ada juga bacaan yang dikira wajib seperti Al-Fatihah dan juga bacaan sunat seperti surah tambahan dan juga zikir.

Bacaan Al-Quran hanya dilakukan ketika dalam keadaan berdiri tegak. Hukumnya makruh jika dibaca ketika sujud dan rukuk. Bacaan doa pula dituntut untuk dibaca ketika dalam sujud berbanding pada perbuatan yang lain. Manakala zikir pula boleh dibaca pada rukuk, i’tidal serta beberapa tempat yang lain.

Ada kalanya apabila kita solat secara berjemaah, imam membaca surah-surah yang panjang yang tidak difahami. Adakah pada waktu itu dibolehkan membaca zikir atau ayat Al-Quran secara bersendirian?

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila dibacakan Al-Quran maka hendaklah kamu mendengarnya dengan teliti dan diamlah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-A’raaf 7:204)

Anjuran bagi mendengar dengan teliti bacaan Al-Quran bukan hanya khusus ketika berada di luar solat sahaja malah dalam solat. Bersandarkan ayat di atas, lebih baik jika makmum mendengar bacaan imam sekalipun tidak memahami kerana padanya ada kebaikan.

Malah daripada ayat tersebut, Imam Al-Thabari memberi tafsiran dan pandangan berikut.

“Fokuskanlah pendengaran kamu kepadanya (bacaan Al-Quran) supaya kamu dapat memahami ayat-ayatnya serta mengambil ibrah dengan peringatan-peringatannya. Dan diamlah kamu supaya kamu dapat berfikir serta mentadabburinya. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan merahmati kamu disebabkan kamu mengambil perhatian akan peringatannya”. [Rujuk Al-Jami’ al-Bayan, Abu Ja’far Al-Thabari (13/345)]

Selain itu, terdapat satu kisah yang pernah diceritakan seorang sahabat Nabi SAW, Jabir bin Abdillah.

Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang menjadi imam di dalam solat, ada seorang lelaki yang turut membaca Al-Quran di belakang baginda, lalu seorang sahabat lain menegah perbuatan tersebut. Mereka berdua saling bertelagah selepas solat sehingga sampai didengari Nabi SAW.

Lalu kata baginda SAW:

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَإِنَّ قِرَاءَةَ الإِمَامِ لَهُ قِرَاءَةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang mempunyai imam maka sesungguhnya bacaan imam adalah bacaan buat dirinya juga. (Riwayat Ibn Majah, no.850)

Kesimpulannya, makmum perlu menghormati ketika imam membaca ayat-ayat Al-Quran sekalipun tidak sepenuhnya memahami bahasa Arab. Menurut Mazhab Syafie, kewajipan untuk membaca sendiri adalah pada surah Al-Fatihah sahaja. Jadi, ambil masa untuk diam selepas membaca Surah Al-Fatihah dan dengar dengan teliti. Semoga ia dapat menambah kekhusyukan dalam solat.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.