Ads Top

Apakah Hukum Memakai Pakaian Yang Ada Lambang Salib Ke Dalam Solat

Salib merupakan lambang yang digunakan oleh penganut Kristian sejak sekitar tahun 400 Masihi. Bagi sesetengah Kristian, ia merupakan simbol harapan di dunia ini dan juga kehidupan yang akan datang. Bagi sesetengah Kristian yang lain pula, ia adalah sesalan dan keinsafan atas dosa-dosa yang dilakukan.

Ada juga yang menganggap bahawa ia adalah sebagai lambang kekuatan iman dan ketaatan kepada kuasa-kuasa tuhan mereka. Rata-rata juga menganggap bahawa ia adalah untuk menyatukan umat Kristian sebagai identiti mereka sebagai pengikut Yesus.

Adakah tanda salib ini boleh digunakan oleh umat Islam sama ada sebagai perhiasan sahaja. Bagaimana pula dengan lambang-lambang salib yang terdapat pada pakaian-pakaian yang dipakai kemudian dibawa pula ke dalam solat?

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ

Maksud: “Nabi SAW tidak meninggalkan satu pun barang yang masuk ke rumah Baginda, yang ada gambar bersalib, kecuali Baginda akan menghapuskannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5952)

Menurut Imam Al-Syaukani: “Al-Tasalib, iaitu gambar yang bersalib daripada sulaman atau jahitan baju atau selainnya. Salib tersebut ialah gambar yang disangkakan Nabi Isa AS yang disembah oleh Nasrani.”

Dalam hal ini, jumhur ulama menyebut bahawa haram hukumnya memakai baju yang jelas ada simbol salib padanya apatah lagi dibawa ke dalam solat.

Jika tersedar selepas hanya membelinya, maka lambang salib tersebut wajib dihilangkan sama ada dengan cara dikikis atau dicampur dengan warna lain, asalkan sehingga lambang tersebut sudah tidak kelihatan.

Dalam hal ini, jumhur ulama memberi maksud bahawa situasinya adalah sama dengan pakaian yang ada simbol agama lain seperti patung dan sebagainya. Sebarang simbol dan lambang agama lain tidak boleh digunakan sebagai perhiasan mahupun dibawa ke dalam solat.

Adapun, solatnya adalah sah jika pakaian tersebut menutup aurat dan mengikut syariat yang ditetapkan. Ertinya, tidak perlu diulangi solat tersebut. Namun, perbuatan membawa baju tersebut ke dalam solat adalah haram hukumnya.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.