Ads Top

Bagaimana Untuk Golongan Transgender Menunaikan Umrah Dan Haji

Umrah atau haji adalah ibadah yang sangat istimewa dalam kehidupan seorang Muslim. Siapa yang tidak mahu berkunjung ke tempat yang suci dalam Islam, melihat Kaabah, mengunjungi masjid nabi, berada di Raudhah dan berdoa di Jabal Rahmah.

Tidak menjadi masalah bagi seseorang untuk pergi menunaikan haji atau umrah jika sudah cukup duit dan telah bersedia, namun bagi golongan transgender, isu yang menjadi persoalan mungkin dari sudut bagaimana mereka ingin berihram dan berpakaian di sana kerana bentuk badan yang telah berubah lebih-lebih lagi jika perubahan dilakukan secara kekal.

Menurut Ustaz Syed Shahridzan, golongan transgender boleh menunaikan umrah atau haji namun wajib mematuhi syarat asas ini:

Mereka wajib menunaikan umrah dan haji mengikut hukum asal jantina mereka sekalipun pembedahan mengubah jantina telah dilakukan secara kekal.

Jika jantina asal adalah lelaki dan sudah berubah menjadi perempuan, maka tetap perlu menunaikan umrah secara lelaki, begitu juga jika jantina asal adalah perempuan dan sudah bertukar menjadi lelaki maka perlu juga menunaikan umrah secara perempuan.

Menurut Ustaz Syed Shahridzan lagi, antara tindakan yang perlu dititikberatkan ialah:

1. Mereka mesti memakai kain bengkung yang tidak berjahit bagi mengelakkan payudara tiruan kelihatan oleh orang awam (bagi transgender lelaki).

2. Mereka juga mesti memakai pakaian yang sesuai dengan jantina asal sepanjang berada di Tanah Suci demi menghormati kesucian kedua-dua Tanah Haram (Jika sudah berubah menjadi perempuan, tetap tidak boleh memakai tudung atau telekung).

3. Wajib mengerjakan ibadah di ruang solat yang telah disediakan. Lelaki di bahagian lelaki, dan perempuan mestilah di bahagian solat perempuan.

4. Agensi yang menguruskan perjalanan umrah atau haji mereka juga perlu memastikan bilik penginapan mereka tidak boleh bercampur dengan wanita tulen (jika transgender lelaki) dan lelaki tulen (jika transgender perempuan).

Antara persoalan yang menjadi masalah adalah – bagaimana mereka ingin berihram dalam keadaan tubuh yang sudah berubah? Ia pasti mengundang fitnah dan rasa tidak selesa para jemaah sekeliling.

Dr Aznan Hasan, seorang pembantu profesor dalam bidang perundangan Islam di salah sebuah universiti tempatan mengulas dan memberi pandangan yang sedikit sebanyak dapat membantu golongan ini.

Menurut beliau, sebaiknya golongan transgender mengambil langkah awal seperti berikut sebelum pergi menunaikan ibadah haji atau umrah.

1. Hentikan pengambilan ubat hormon bagi mengembalikan tubuh ke keadaan asal terlebih dahulu dalam tempoh beberapa lama sebelum ingin ke Tanah Suci.

2. Dapatkan khidmat nasihat serta bantuan dari doktor, pakar pemakanan, pakar nutrisi atau jurulatih kecergasan (coach) jika diperlukan.

3. Dapatkan pandangan golongan agama adakah keadaan badan mereka sudah dikira sesuai untuk ke Tanah Suci. Hal ini penting bagi memudahkan urusan mereka di sana. Ia dapat mengelak fitnah dan dapat mengelakkan pandangan serong dari orang ramai sekaligus dapat membantu mereka untuk beribadat dengan tenang tanpa gangguan.

Sesiapa sahaja berhak ke Tanah Suci – tidak kira kita seorang yang tidak pandai agama, yang sentiasa melakukan dosa, yang tidak sempurna asalkan kita mengikut cara yang betul dan telah ditetapkan dalam Islam. Wallahua’lam.




No comments:

Powered by Blogger.