Ads Top

Amalan Mengucup Hajarul Aswad Merupakan Sunnah Baginda SAW

Rumah ibadat pertama yang telah dibina di atas muka bumi ini ialah Kaabah. Menurut kesepakatan dari perbahasan ulama, ia telah dibina pada zaman Nabi Ibrahim bersama anaknya, Nabi Ismail. Baginda telah mendapat wahyu daripada Allah untuk membina Kaabah di tempat itu.

Kaabah telah diwujudkan bertepatan dengan satu garis lurus di bawah Baitul Makmur, iaitu tempat di mana para Malaikat melakukan tawaf (di langit). (Kitab Ubnu Katsir)

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Mafhum: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Surah Ali-Imran, 3:96)

Antara kisah menarik yang menjadi keunikan mengenai Kaabah ialah Hajarul Aswad. Ia merupakan batu putih berkilau dan disebut seperti thaghumah, iaitu sebatang pohon bebunga putih yang tumbuh di kawasan pergunungan.

Walau bagaimanapun, ia kini menjadi sebuah batu yang berwarna hitam kerana telah disentuh oleh manusia akibat pantulan dosa-dosa mereka.

Menurut kitab Ibnu Katsir, batu ini telah dibawa sendiri oleh Malaikat Jibril bagi meletakkannya di satu sudut. Pada awalnya, Nabi Ibrahim telah memerintahkan Nabi Ismail untuk membawa batu sesuai dengan kekuatannya bagi diletakkan di satu sudut.

Namun, Nabi Ismail tidak menjumpai batu yang sesuai dan boleh diangkatnya. Kemudian, datanglah Jibril dengan membawakan Hajarul Aswad.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « نَزَلَ الْحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الْجَنَّةِ وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِى آدَمَ »

Maksud: “Dari Ibnu Abbas RA, ia berkata bahaw Rasulullah SAW bersabda: “Hajar Aswad turun dari syurga padahal batu tersebut begitu putih lebih putih daripada susu. Dosa manusialah yang membuat batu tersebut menjadi hitam.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 877)

Manusia akan mengucup dan menyentuh Hajarul Aswad ini setiap kali menunaikan haji dan umrah. Namun, tahukah anda itu sebenarnya merupakan perbuatan Baginda SAW dan ia termasuk dalam rukun yamani (sudut Kaabah bahagian barat daya yang ditempatkan Hajarul Aswad dari arah tawaf).

Diceritakan oleh Umar Al-Khattab bahawa, ketika Baginda SAW memasuki kota Mekah, Baginda akan mengusap dan mencium Hajar Aswad, kemudian berlari-lari anak.

عَنْ عَابِسِ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ رَأَيْتُ عُمَرَ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ إِنِّى لأُقَبِّلُكَ وَأَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَلَوْلاَ أَنِّى رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُقَبِّلُكَ لَمْ أُقَبِّلْكَ

Maksud: “Dari ‘Abis bin Robi’ah, ia berkata: “Aku pernah melihat ‘Umar bin Al-Khattab mencium Hajar Aswad. Kemudian, Umar berkata: “Sesungguhnya aku menciummu dan aku tahu bahawa engkau hanyalah batu. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah menciummu, maka tentu aku tidak akan menciummu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1597)

Oleh itu, perbuatan mencium dan menyentuh Hajarul Aswad merupakan salah satu ikutan Baginda SAW dan bukannya sebuah perbuatan yang sia-sia.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Sirah Nabi Ibrahim

Rujukan:
Muslim.or.id
Rukun Yamani




No comments:

Powered by Blogger.