Ads Top

Taraf Doa Wanita Yang Hamil – Adakah Dikira Mustajab

Umum mengetahui bahawa doa seorang ibu merupakan doa yang mustajab. Apabila anak-anak itu berjaya, ketahuilah bahawa kejayaan itu bukan seratus-peratus daripada usaha anda kerana di dalamnya juga terkandung doa ibu dan bapa anda.

Seperti mulianya taraf seorang ibu, begitulah juga mulianya doa mereka di sisi Allah SWT. Disebabkan itu, walau apa pun yang anda lakukan, jangan lupakan kewujudan mereka sebaliknya, cubalah untuk membalas jasa mereka walau dengan apa jua cara sekali pun.

Pengorbanan mereka yang telah mengandungkan anaknya selama sembilan bulan ditambah dengan sakit yang terpaksa ditanggung, kemudian penat lelah mereka menjaga dan mendidik sehingga dewasa – itu semua dikira sebagai salah satu asbab mengapa doa mereka merupakan antara yang mustajab dan dimakbulkan Allah.

Walau bagaimanapun, bagaimana pula dengan doa wanita hamil yang masih belum bergelar ibu? Adakah sama status dan darjat mereka?

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Katsir berkata – terdapat sebuah kisah yang pernah berlaku pada zaman para salafussoleh dahulu oleh ‘Ubaidullah bin Abi Soleh yang berkata:

“Suatu hari Thawus (Ibn Kaisan) datang menziarahi aku yang sedang sakit di rumahku. Lalu, aku berkata kepadanya: “Berdoalah kepada Allah untuk aku wahai Abu Abd al-Rahman.” Maka, beliau membalas: “Berdoalah kamu sendiri untuk diri kamu kerana Allah menjawab mereka yang dalam kesulitan apabila dia berdoa kepadanya.” (Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, Ibn Katsir 6/206)

Menurut kenyataan yang dihuraikan oleh Mufti Wilayah , walaupun tiada riwayat mengenai kemustajaban doa wanita yang hamil secara khusus, namun melihat kepada salah satu tanda orang yang mustajab doanya ialah apabila dia berada dalam keadaan yang sakit atau kesulitan, maka ia adalah situasi yang sama dengan wanita yang mengandung.

أَمَّن يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ وَيَكْشِفُ السُّوءَ وَيَجْعَلُكُمْ خُلَفَاءَ الْأَرْضِ ۗ أَإِلَـٰهٌ مَّعَ اللَّـهِ ۚ قَلِيلًا مَّا تَذَكَّرُونَ

Mafhum: “Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).” (Surah An-Naml, 27:62)

Para ulama membahaskan bahawa, kesakitan mengandungkan bayi selama beberapa bulan dan kesakitan semasa proses kelahiran dan juga selepasnya adalah termasuk dalam kalangan mereka yang berada dalam kesulitan. Jadi, doa mereka juga boleh dianggap sebagai doa yang mustajab dan termasuk dalam kategori الْمُضْطَرَّ, iaitu mereka yang berada dalam kesulitan.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.