Ads Top

Salah Faham Masyarakat Mengenai Sutrah

Pernahkah anda lalu di hadapan orang yang sedang solat? Jika di tempat awam, kadang-kadang mereka akan meletakkan sesuatu sabagai tanda penghadang. Kebanyakannya akan menganggap bahawa mereka boleh melintas di hadapan orang yang solat apabila wujud tanda tersebut.

Apabila ditanya berkenaan hal ini kepada segelintir yang lain, mereka juga berpendapat sedemikian dengan fahaman yang sama. Walau bagaimanapun, ia sebenarnya merupakan salah faham yang digunakan ketika bersolat.

Sekatan atau dalam bahasa Arab digelar sebagai sutrah (سُترَةٌ) sebenarnya merupakan sebuah tanda bahawa tiada seorang pun yang boleh melintas di hadapannya (ruang di antara orang yang solat dan penghadang).

Ia bermaksud satu tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya. Kebiasaannya, ia digunakan dengan tongkat, tiang, dinding atau hamparan sejadah.

Selalu kita melihat ada yang meletakkan tas tangan, tudung, tali pinggang dan juga telefon bagi meletakkan sekatan berhampiran dengan tempat sujud (di hadapan sujud).

Menurut perbahasan jumhur ulama, haram hukumnya bagi seseorang untuk lalu di hadapan orang yang bersolat yang telah ditandakan sutrah.

Terdapat sebuah hadis sahih lain yang menyebut bahawa sunat (dibolehkan) ke atas orang yang sedang bersolat untuk menahan orang yang lalu di hadapannya itu menggunakan tangan.

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ، فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَلْيَدْفَعْ فِي نَحْرِهِ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ، فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

Maksud: “Jika salah seorang daripada kalian bersolat dalam keadaan menghadap sutrah yang boleh menghalangi manusia, lalu ada orang yang ingin melintasi hadapannya, hendaklah dia menahannya. Dan jika dia enggan juga, hendaklah dia diperangi (yakni ditolak dengan keras) kerana dia adalah syaitan (yakni bersamanya syaitan).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 505)

Kata Imam An-Nawawi – merujuk kepada Mazhab Syafie, jarak seseorang dengan sutrah itu tidak perlu jauh melebihi tiga hasta; dan dalam jarak inilah seseorang dilarang melintas di hadapannya.

Jika anda sudah menghamparkan sejadah, maka tidak perlu lagi meletakkan tanda lain sebagai sekatan kerana sejadah juga menepati maksud sutrah. Bahkan, menurut perbincangan jumhur ulama, hamparan sejadah adalah lebih diutamakan berbanding dengan sutrah dan juga garisan saf.

Walau bagaimanapun, jika anda sudah terbatal wuduk ketika sedang solat berjemaah dan ingin keluar untuk memperbaharui wuduk, maka adalah tidak mengapa untuk kelaur dari garisan anda dan lalu di hadapan jemaah lain yang sedang solat.

Begitu juga jika ada kekosongan di saf pertama atau saf di hadapan anda, maka dibolehkan untuk seseorang yang ingin memenuhi ruangan tersebut untuk melintas di hadapannya. Namun, ia perlu dilakukan dengan sopan (tidak tergesa-gesa sehingga melanggar jemaah yang lain).

Hukum Melintasi Orang Yang Solat Tanpa Sutrah

Jika seseorang itu bersolat tanpa meletakkan sekatan atau hamparan sejadah di hadapannya, maka hukum seseorang melintas adalah tidak diharamkan, tetapi makruh. Orang yang bersolat tanpa sutrah juga tidak berhak untuk menghalang seseorang daripada lalu di hadapannya.

Hal ini ada dibincangkan menerusi pandangan Imam An-Nawawi dalam Syarah Muslim dan juga menerusi Ibnul Qayyim.

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ تِلْقَاءَ وَجْهِهِ شَيْئًا، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُلْقِ عَصًا، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ عَصًا فَلْيَخُطَّ خَطًّا، ثُمَّ لَا يَضُرُّهُ مَا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ

Maksud: “Apabila salah seorang kamu melaksanakan solat, hendaklah dia meletakkan sutrah di hadapannya. Jika tidak, hendaklah memancak tongkat dan jika tiada hendaklah, membuat garis sehingga tidak akan menjadi masalah sekiranya ada yang melalui di hadapannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 689)

Sedikit tambahan berkenaan perkongsian yang telah diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus, jika seseorang itu bersolat di dalam masjid (atau di ruangan awam), maka perlu dielakkan untuk bersolat berdekatan dengan pintu atau tempat lalu-lalang jemaah lain.

Dalam kita mendekatkan diri dengan Allah, kita juga perlu meraikan jemaah lain dengan memudahkan urusan mereka untuk keluar masuk masjid. Seeloknya, carilah tempat yang tidak menggangu jemaah lain untuk lalu atau melintas.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Majlis Ulama Isma
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.