‘Ritual Aneh’ – Manfaat Aktiviti Keagamaan Kepada Pelajar
Minggu lalu sebuah platform media digital telah berkongsi kenyataan dan temu bual dengan ibu bapa tentang ritual dan aktiviti keagamaan yang dilakukan oleh anak-anak mereka di sekolah. Ibu bapa bimbang aktiviti ini mencuri terlalu banyak masa anak-anak mereka sehingga menyebabkan letih dan lesu ke kelas.
Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut mendapat respon hangat netizen di media sosial, Twitter. Kata mereka, aktiviti keagamaan yang disebut sebagai ‘ritual aneh’ itulah yang membentuk mereka menjadi insan yang berguna. Ada pula yang memberi komen bahawa dengan adanya aktiviti keagamaan itu, mereka lebih rajin melakukan ibadah yang tidak dilakukan di rumah.
Tzkrh tertarik untuk mengulas manfaat yang diperoleh oleh para pelajar daripada ritual dan aktiviti keagamaan yang dilakukan. Berdasarkan bacaan yang telah dibuat daripada kajian-kajian tentang hubung kait amalan ritual dan keagamaan serta kesannya kepada manusia, berikut adalah faedah-faedahnya:
#1- Dapat Mengawal Fikiran Negatif
Melakukan amalan ibadah dapat mengawal fikiran negatif seseorang. Ia dapat mengalihkan perhatian daripada emosi yang negatif dengan menfokuskan kepada gerak-geri badan dan bacaan yang perlu dilakukan dalam ibadah.
Secara tidak langsung, amalan ibadah dapat bertindak sebagai ‘benteng’ daripada fikiran-fikiran negatif untuk masuk ke dalam minda ketika ritual dilakukan.
#2- Cenderung Untuk Menjalani Gaya Hidup Yang Sihat
Dalam sebuah jurnal yang bertajuk “Religion’s Role in Promoting Health and Reducing Risk Among American Youth” mendapati bahawa remaja yang menghadiri upacara keagamaan setiap minggu dan menganggap bahawa agama adalah penting dalam kehidupan mereka, lebih cenderung untuk makan secara sihat, tidur dengan cukup dan bersenam dengan kerap.
Selain itu, mereka juga lebih kurang melibatkan diri dalam perbuatan berisiko dan boleh mendatangkan bahaya seperti merokok, buli dan juga memandu secara berbahaya.
#3- Mengurangkan Masalah Depresi
Kajian dalam skala besar (lebih 100 kajian) yang dijalankan menyimpulkan bahawa orang yang sentiasa melakukan aktiviti keagamaan dan menghargai agama mereka akan lebih kurang mendapat masalah tekanan (depresi). Ia juga menyumbang kepada berkurangnya cubaan untuk membunuh diri dalam masyarakat.
Dalam kes yang lain, remaja yang selalu hadir ke upacara keagamaan dan mendapat sokongan spiritual yang tinggi daripada keluarga dan masyarakat setempat hanya berkemungkinan mendapat masalah tekanan pada tahap yang paling rendah.
#4- Mengurangkan Sakit Belakang Dan Masalah Sendi
Sebuah kajian yang dilakukan terhadap mereka yang melakukan solat pula mendapati bahawa pergerakan dalam solat seperti sujud meningkatkan keanjalan sendi dan mengurangkan sakit belakang.
Manakala ada kajian lain yang menunjukkan amalan solat adalah satu kaedah rawatan yang efektif bagi masalah neuro-musculoskeletal yang gagal berfungsi.
#5- Lebih Mudah Menyeimbangkan Emosi Dan Mengawal Diri
Seseorang yang melakukan suatu ritual akan lebih mudah mengatasi rasa sedih yang dialami dalam kehidupan berbanding mereka yang tidak melakukan apa-apa aktiviti atau ritual.
Selain itu, ia juga dapat memberi tenaga kepada badan dan meningkatkan motivasi dalam diri seseorang sekaligus mengurangkan rasa tertekan, cemas dan serabut – lebih-lebih bagi pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan.
Malah jika aktiviti kegamaan tersebut dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga atau rakan-rakan, ia dapat mewujudkan rasa kebersamaan, penghargaan serta rasa bermakna terhadap apa yang dilakukan.
Kesimpulan
Demikian banyak kajian yang telah membincangkan tentang hubung kait antara aktiviti keagamaan dan faedah yang akan diperoleh oleh seseorang individu.
Isu yang telah diketengahkan tentang kebimbangan para ibu bapa terhadap anak-anak mereka pula perlu dinilai dengan bijak. Mungkin yang digusarkan hanyalah tentang aspek teknikal dan pelaksanaan aktiviti keagamaan tersebut dan bukan tentang aktiviti itu sendiri – contohnya waktu yang sesuai, tempoh yang tidak terlalu lama dan lain-lain.
Selain itu, para pelajar dan ibu bapa mungkin perlu terlebih dahulu diterangkan tentang tujuan atau kelebihan yang diperoleh daripada ritual dan aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Hal ini dapat mengelakkan salah faham dan rasa tidak puas hati dengan perancangan aktiviti yang telah dibuat.
Rujukan:
1. Independent.co.uk
2. Marripedia.org
3. Jurnal bertajuk “The Psychology of rituals: An Integrative Review and Process-Based Framework”
No comments: