Ads Top

Pernah Murung Lepas Bercerai, Radhi ‘Tuntut’ Hak Bermalam Dengan Anak

Vokalis OAG, Muhammad Radhi Razali atau Radhi, 42, mengakui pernah berasa tertekan selepas melalui episod penceraian bersama bekas isterinya, Nur Shahirah Ayu Zahri, 26.

Menurut Radhi, dia melalui fasa kemurungan itu kerana perlu hidup berjauhan dengan dua anaknya, Nur Aisyah, 5, dan Muhammad, 4.

“Kekuatan saya untuk meneruskan kehidupan adalah anak-anak saya sendiri. Bayangkan jika sebelum ini, saya hari-hari main dengan mereka di rumah tapi sekarang saya tidak dapat momen-momen itu lagi.

“Bekas isteri memang tidak menghalang saya untuk jumpa anak-anak tapi sejak bercerai pada bulan Julai lalu, memang saya tidak pernah dapat peluang bawa anak-anak bermalam di rumah saya. Jadi saya harap saya diberi kesempatan untuk berbuat demikian di masa akan datang,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Radhi ditemui pada majlis pelancaran konsert jelajah serta single terbaharu OAG berjudul Ori yang berlangsung di Base Point, Eve Suite, Ara Damansara semalam.

Radhi berkahwin dengan Ayu pada 14 April 2014 namun hubungan mereka tidak bertahan lama apabila disahkan bercerai talak satu pada 16 Julai 2019.

Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 15 tahun.

Menurut Radhi lagi, bagi menghilangkan segala perasaan tekanan dan emosi yang melandanya sebelum ini, dia sering mendekatkan diri dengan rakan-rakan dari pusat tabligh.

“Saya bersyukur dipertemukan dengan rakan-rakan tabligh. Mereka sentiasa bimbing saya untuk dekat dengan Allah bila ada sesuatu perkara yang menggangu kita.

“Saya selalu berjemaah dengan mereka dan sering ikuti kelas-kelas mereka dan yang paling jauh pernah saya ikut mereka berdakwah ialah di Johor.

“Saya pun ada tanam impian nak terlibat dalam kerja-kerja dakwah sekiranya selepas ini saya sudah tidak aktif lagi dalam bidang seni. Kita hanya merancang, selebihnya Allah yang menentukan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan seni, OAG bakal menjayakan konsert jelajah di tiga lokasi iaitu di Johor Bahru pada 8 Februari, Ipoh (22 Februari) dan Kuala Lumpur (23 Februari).

Siri jelajah 202OAG A New Beginning itu memperlihatkan kerjasama Famsy untuk jualan tiket serta barangan eksklusif OAG.

Tiket berharga RM50 (early bird), RM70 (lokasi konsert) dan RM100 (VIP pass) boleh didapati menerusi https://ift.tt/36Cm2Py.

Menerusi penjenamaan semula ini, OAG akan meneruskan kerjaya seni sebagai sebuah kumpulan namun, cuma Radhi sahaja sebagai seorang ahli yang tetap.

Di masa hadapan, OAG yang baru akan bekerjasama dengan pelbagai jenis ahli muzik selain daripada menggunakan ahli yang tetap.

OAG ditubuhkan pada 1992 dengan anggota asal iaitu Radhi selaku vokalis dan pemain gitar, Qi (pemain dram), Ivan (pemain gitar) dan Lam (pemain bass) sebelum beberapa kali melalui perubahan dalam anggota kumpulan selepas itu.

OAG yang popular dengan lagu 60’s TV, Slumber dan Generasiku merupakan pelopor muzik rock alternatif tempatan yang cukup disegani sehingga hari ini. – KopiPlanet.com

The post Pernah Murung Lepas Bercerai, Radhi ‘Tuntut’ Hak Bermalam Dengan Anak appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.