Overthinking Mencuri Masa Anda Tanpa Sedar
Terdapat satu hadis yang menarik perhatian saya. Ia bercerita tentang keadaan manusia ketika menunggu perbicaraan di akhirat kelak.
Diceritakan bahawa seseorang itu tidak akan berganjak dari tempatnya di padang Mahsyar sehingga ditanya tentang lima perkara – Pertama, di manakah dia menghabiskan umurnya. Kedua, adakah dia mengamalkan ilmunya. Ketiga, bagaimana seseorang itu memperoleh hartanya. Keempat, di mana ia menginfakkannya dan terakhir tentang tubuh badannya – ke mana ia digunakan.
Kelima-lima soalan ini adalah persoalan utama kerana inilah yang membentuk kehidupan seorang manusia di dunia – dirinya sendiri, umur (masa), harta dan ilmu. Jika banyak dosa dan kesalahan yang dilakukan dalam perkara-perkara ini, maka semakin rumit soal jawab dan juga hukumannya kelak.
Baiklah, apa yang ingin difokuskan dalam artikel kali ini adalah dua perkara sahaja iaitu persoalan amanah masa dan tubuh badan.
Apabila disebut tentang amanah masa dan tubuh badan, kita cenderung untuk berfikir tentang tubuh badan yang luaran sahaja seperti mata, telinga, tangan dan kaki. Kita lupa tentang anggota tubuh badan yang lain contohnya otak yang digunakan untuk berfikir.
Overthinking Mencuri Masa
Antara perkara yang sering kita lakukan apabila berhadapan dengan masalah adalah berfikir secara berlebihan (overthinking). Membiarkan minda selalu berfikir negatif sama seperti membuang masa dan tidak menggunakan anggota badan (otak) yang diberikan dengan sebaiknya.
Kita menghabiskan masa dengan berfikir secara negatif dan berlebih-lebihan sehingga memberi kesan kepada perkara lain – terlupa janji, tidak menguruskan kehidupan dengan baik, mencetuskan perselisihan faham dan sebagainya.
Overthinking Melemahkan Tubuh Badan
Overthinking bukan hanya mencuri masa, malah akan memberi kesan yang tidak baik kepada tubuh badan. Antara kesan negatifnya adalah badan menjadi cepat penat, kurang bertenaga dan tahap kreativiti berkurang. Ia boleh terzahir dalam prestasi kerja – contohnya tidak dapat fokus dan kerja menjadi lambat siap.
Selain itu, overthinking juga akan memberi kesan kepada kualiti tidur sama ada kurang tidur atau terlebih tidur. Selera makan juga boleh berubah. Seorang yang overthinking dan kerap risau mungkin akan memilih makanan yang tidak sihat sebagai ‘comfort eating’.
Kesimpulan
Memang kita tidak dapat mengelak secara seratus peratus daripada menjadi overthinking, kerana fikiran kita selalu berfungsi secara automatik tanpa sedar. Namun, menjaga fikiran dan masa masih menjadi tanggungjawab yang perlu kita usahakan dengan sebaik mungkin.
Rasulullah SAW berpesan:
“Bersungguh-sungguhlah meraih apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan daripada Allah dalam setiap urusan…”
No comments: