Ads Top

Kisah Cinta Mughits Yang Bertepuk Sebelah Tangan

Pepatah Arab ada menyebut mengenai perihal cinta – Cintamu terhadap sesuatu boleh menjadikan dirimu buta dan pekak.

Cinta kepada manusia, cinta kepada haiwan dan cinta kepada sekalian makhluk, ia semua adalah sebuah perasaan yang fitrah dan normal yang boleh tumbuh dalam diri seorang manusia.

Bolehkah meluahkan rasa cinta itu kepada orang yang dicintai? Jawapannya, tidak menjadi kesalahan untuk meluahkannya namun ia perlu dilakukan dengan cara yang betul dan tidak memaksa.

Sama ada perasaan anda itu diterima atau ditolak, itu adalah permasalahan yang kedua. Yang paling penting ialah bagaimana anda perlu berlapang dada dalam menerima jawapan daripada orang itu.

Jangan biarkan cinta anda itu mempengaruhi fungsi hidup anda. Jika diterima, pastikan anda mempunyai niat untuk membawa hubungan tersebut ke jalan yang halal. Jika ditolak, pastikan anda tidak menangisi kesedihan itu dengan terlalu lama. Beri ruang kepada diri anda untuk move on dan peluang kepada cinta lain.

Jika anda merasakan bahawa kisah cinta anda terlalu tragis kerana ditolak oleh orang yang anda cintai, ketahuilah bukan anda sahaja yang pernah melaluinya kerana ramai lagi orang yang juga pernah merasainya.

Bahkan, pada zaman Baginda SAW, pernah berlaku sebuah kisah cinta antara seorang lelaki berkulit hitam yang mencintai seorang perempuan hamba, iaitu Barirah dan Mughits, namun mempunyai pengakhiran yang menyedihkan.

Barirah pernah dibeli oleh Saidatina ‘Aisyah dan dia meminta agar ‘Aisyah membebaskannya. Apabila ‘Aisyah meminta pandangan daripada Baginda SAW, Baginda kemudian menyuruh ‘Aisyah membebaskannya.

Menurut beberapa riwayat, Mughits dan Barirah pernah berkahwin, namun mereka telah berpisah. Mughits kemudian ingin kembali kepada bekas isterinya, namun Barirah sekeras-kerasnya tidak mahu.

Disebabkan cinta Mughits yang terlalu mendalam kepada Barirah, dia sanggup mengekori perbuatan Barirah dan cuba menatapnya dari jauh.

Sehinggakan pada suatu hari, Baginda SAW menyedari bahawa cinta Mughits kepada Barirah adalah sangat dalam. Baginda menawarkan kepada Barirah untuk menjadi orang tengah bagi mengikat kembali ikatan cinta mereka.

Walau bagaimanapun, Barirah menolak tawaran tersebut kerana hatinya tidak merasa cinta yang sama terhadap Mughits.

Kisah ini ada dinukilkan dalam beberapa riwayat, antaranya ialah:

عَنْ عِكْرِمَةَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّى أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِى ، وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ ، فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – لِعَبَّاسٍ « يَا عَبَّاسُ أَلاَ تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ ، وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا » . فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « لَوْ رَاجَعْتِهِ » . قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِى قَالَ « إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ » . قَالَتْ لاَ حَاجَةَ لِى فِيهِ

Maksud: “Dari ‘Ikrimah, dari Ibnu ‘Abbas, ia berkata sesungguhnya suami Barirah adalah seorang budak yang bernama Mughits. Aku ingat bagaimana Mughits mengikuti Barirah ke mana ia pergi sambil menangis (kerana mengharapkan cinta Barirah). Air matanya mengalir membasahi janggutnya.

Nabi SAW kemudian bersabda kepada bapa saudaranya: “Wahai Abbas, tidakkah engkau merasa hairan akan betapa besarnya rasa cinta Mughits kepada Barirah namun betapa besar pula kebencian Barirah kepada Mughits?”

Nabi SAW kemudian bersabda pula kepada Barirah: “Adakah engkau mahu kembali kepada Mughits?” Barirah berkata: “Wahai Rasulullah SAW, adakah engkau memerintahkanku?” Nabi SAW bersabda: “Aku hanya ingin menjadi perantara (syafi’).” Barirah berkata: “Aku sudah tidak lagi menginginkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5283)

Ini ialah kisah cinta yang bertepuk sebelah tangan. Kata orang cinta itu tidak boleh dipaksa. Walaupun Baginda SAW sendiri telah menawarkan untuk membantu merealisasikan kisah cinta Mughits dan Barirah, namun disebabkan Barirah tidak merasai perasaan yang sama, beliau menolaknya.

Oleh itu, berpada-padalah dalam bercinta. Jangan biarkan ia mempengaruhi fungsi hidup anda dan segera beri ruang kepada hati anda agar tidak terluka terlalu lama.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.