Filem M4M4 Buat Naluri Keibuan Nabila Huda Terganggu & Tertekan
Pelakon Nabila Huda mengakui filem horror thriller lakonannya, M4M4 (MAMA) menuntut dirinya untuk bermain dengan emosi yang cukup berat.
Melakonkan watak sebagai seorang ibu tunggal kepada seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, Nabila berkata sepanjang penggambaran ini air matanya tumpah pada setiap babak yang dijayakannya.
“Saya menangis pada hampir keseluruhan babak dalam filem ini sebab jalan ceritanya memang dekat dengan saya. Saya sendiri merupakan ibu kepada anak perempuan, saya bayangkan kalaulah kejadian seperti yang dalam filem ini berlaku kepada anak sendiri, memang perit nak terima. Saya dengan Bella Dowanna yang melakonkan watak anak kepada saya dalam filem ini juga sudah ada ‘bonding’ ketika sebelum penggambaran bermula, jadi senang nak bawa itu bila kita dah ada rasa ‘connected’ antara satu sama lain.
“Memang saya menangis real dan tidak menggunakan sebarang bantuan untuk menangis seperti titik ‘eye mo’ atau apa-apa. Kalau saya buat macam itu, memang lakonan itu tidak sampai dan penonton pun tidak akan merasai emosi keperitan seorang ibu yang kehilangan anaknya dalam keadaan tragis.
“Pengarah, Eyra Rahman banyak bagi panduan pada saya bagaimana untuk mencorakkan watak saya. Bagi saya dalam setiap filem yang dilakonkan, saya memang akan ikut kehendak pengarah supaya watak saya tidak stereotype dengan watak-watak yang pernah dijayakan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem M4M4 yang berlangsung di MM2 e-Curve, Mutiara Damansara semalam.
Selain itu, Nabila turut berkongsi cerita yang suaminya menegur perubahan emosinya yang mudah tersentuh sepanjang menjalani penggambaran filem ini tahun lalu.
“Suami pernah tegur emosi saya senang berubah tiba-tiba jadi beremosi bila bercakap dengan dia disebabkan saya terlalu terbawa-bawa watak filem ini ke dalam kehidupan realiti. Sampai begitu sekali watak ini beri kesan kepada saya. Saya pasti filem ini akan membuka mata orang di luar sana tentang isu rogol yang sering berlaku di luar sana. Saya harap filem ini beri pengajaran kepada semua. Saya memang suka berlakon filem yang memperkasakan wanita sebagai subjek utamanya,” katanya lagi.
M4M4 turut dibintangi Bella Dowanna, Kodi Rasheed, Faizal Hussein, Eyra Hazali, Niezam Zaidi, Ungku Hariz dan Izzy Reef.
Filem terbitan Da Motion Pictures ini akan ditayangkan di 107 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei mulai 6 Februari ini.
SINOPSIS M4M4:
Kisah bermula pada hari lahir ke-16 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.
Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.
Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.
Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.
Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com
The post Filem M4M4 Buat Naluri Keibuan Nabila Huda Terganggu & Tertekan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: