Bagaimana Untuk Tahu Sesuatu Ditakdirkan Untuk Kita Atau Tidak?
Ada persoalan yang sentiasa bermain di minda saya, dan kadang kala akan saya tanyakan pada orang-orang yang saya jumpa.
“Bagaimana untuk kita tahu – sama ada sesuatu itu ditakdirkan untuk kita atau tidak”
Saya percaya soalan ini bukan hanya timbul dalam minda saya sahaja, malah pada sesiapa sahaja terutama jika suatu yang diusahakan dalam hidup menemui kegagalan.
Kita akan mula berfikir bahawa perkara tersebut tidak sesuai untuk kita. Sebahagian orang akan mula hilang minat terhadap apa yang dimahukan, hilang kesungguhan untuk mencuba lagi malah mematikan terus apa yang dicita-citakan.
Semakin lama saya berfikir, saya semakin merasakan bahawa soalan ini sebenarnya tidak relevan, kerana kita tidak akan pernah tahu rezeki bagaimana yang ditakdirkan oleh Allah dalam hidup kita.
Persoalan penting yang perlu dijawab hanyalah – adakah kita mahu atau tidak, dan adakah kita sanggup melakukan usaha berkali-kali?
Tidak perlu lagi persoalan tambahan lain yang menyusul selepas itu – soal layak atau tidak. Soal mampu atau tidak, dan sebagainya.
Kerana bukan Allah yang tidak mampu untuk memberi apa yang kita mahu tetapi kita yang takut dan masih belum bersedia untuk menerima apa yang Allah mampu beri.
Mungkin kita terlupa bahawa sudah ramai hamba Allah yang dikabulkan doanya.
Lihat sahaja Nabi Sulaiman AS yang meminta kepada Allah agar dikurniakan kekuasaan dan kerajaan yang sangat besar yang tidak pernah diberikan kepada manusia lain. Baginda diberi kuasa mampu memerintah angin, mampu mentadbir urus bukan hanya manusia dan haiwan malah golongan jin.
Terasa mustahil bukan? Barangkali ada yang berfikir bahawa – “sudah tentu Allah mengabulkan kerana baginda seorang Nabi dan Rasul”
Baik, mari kita dengar pula kisah seorang manusia lain – manusia biasa, seorang pembuat roti pada zaman Imam Ahmad bin Hanbal.
Ketika itu Imam Ahmad sedang dalam perjalanan ke suatu tempat. Beliau kemudian singgah di suatu kota dan pada waktu itu hari telah gelap. Beliau ingin berehat di masjid namun dihalau oleh pengawal yang menjaga masjid. Tambahan pula, beliau baru sahaja tiba di daerah tersebut dan orang tidak mengenali bahawa dia adalah ulama yang terkenal.
Sorang lelaki pembuat roti yang menyedari kejadian tersebut kemudian menjemput Imam Ahmad agar singgah berehat di kedainya. Diceritakan bahawa sepanjang dia bekerja menguli dan membuat roti, tidak kering lidahnya berzikir menyebut istighfar.
Lalu apabila ditanyakan oleh Imam Ahmad – apa manfaat yang diperoleh daripada melakukan amalan tersebut.
Beliau berkata bahawa Allah telah mengabulkan kesemua doanya kecuali satu perkara iaitu berjumpa Imam Ahmad bin Hanbal, sedangkan beliau tidak menyedari yang bertanyanya saat itu adalah Imam Ahmad bin Hanbal! Bermakna, Allah memang telah mengabulkan kesemua doanya.
Kesimpulannya, tidak ada yang mustahil bagi Allah. Suatu hal yang perlu kita ingat bahawa, kemahuan dan keinginan akan diturutkan oleh Allah sesuai dengan kesungguhan dan usaha yang dilakukan dan juga dengan syarat perkara itu tidak melanggar hak orang lain. Tidak akan diubah nasib sesuatu kaum kecuali dia mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri.
No comments: