Adakah Pakaian Yang Terkena Asap Daging Khinzir Dikira Najis
Najis mughallazah merupakan najis yang paling berat dan cara penyuciannya tidak sama dengan najis-najis lain. Najis ini haram sama ada dari sudut makanan, pakaian dan setiap aspeknya.
Walau bagaimanapun, bagaimana pula dengan keadaan bau asap yang terkena pada pakaian anda? Bayangkan jika anda berada dalam situasi – anda lalu di kedai makan yang sedang membakar sate khinzir kemudian asapnya terkena pada pakaian anda.
Atau mungkin juga, jiran bukan Islam anda membakar sampah sarap yang terkandung sisa makanan mereka seperti daging khinzir dan sebagainya.
Berbagai lagi situasi yang mungkin pernah dialami berkenaan dengan najis ini. Jadi, apakah hukumnya terhadap pakaian anda? Adakah masih boleh dibawa solat atau perlukah ia dicuci dengan cara yang sama menyucikan najis mughallazah ini?
Para ulama telah berbeza pendapat mengenai perihal ini kerana pada asalnya, hukum asap yang berasal dari sesuatu benda adalah sama dengan benda tersebut.
Maksudnya, jika benda itu adalah najis, maka asapnya juga turut menjadi najis dan begitulah sebaliknya. Secara istilahnya, ia dipanggil mutannajis, iaitu sesuatu yang terkena pada najis.
Melalui kitab Taudhihul Adillah yang menjelaskan mengenai dalil dan bab bersuci, pakaian yang terkena pada najis akan dihukumkan najis, sama ada pembakaran najis kuda yang akan menyebabkan pakaian tersebut tidak boleh dibawa ke dalam solat, begitu juga dengan pembakaran daging babi mahupun anjing akan menjatuhkan pakaian itu kepada najis yang sama dengannya.
Untuk pendapat yang kedua, iaitu berdasarkan Mazhab Imam Syafi’e, keadaan mutannajis (pakaian yang terkena najis) itu boleh terbahagi kepada dua yang terdapat keringanan padanya, iaitu:
#1 – Jika asapnya sedikit dan tidak meninggalkan kesan kepada pakaian sama ada tiada baunya atau tidak terlihat tompok kotorannya, maka ia adalah dimaafkan.
#2 – Jika asapnya banyak dan meninggalkan kesan yang banyak seperti baunya yang kuat, maka hukumnya adalah najis dan wajib untuk menghilangkannya.
Walau bagaimanapun, jika anda tidak mengetahui asap itu datang dari sumber apa atau tiada tanda yang memberitahu bahawa ia adalah najis, maka hukumnya adalah suci.
Maksud: “Dan dimaafkan yang sedikit menurut huruf dan pada asap najis, iaitu yang menguap dari najis melalui pembakaran api, walaupun sejenis kemenyan yang diletakkan di atas kotoran. Dan sebahagian darinya apa yang berlaku pada adat di permandian air panas, maka itu adalah najis kerana dia termasuk daripada bahagian-bahagian najis yang dipisahkan oleh api daripadanya kerana kekuatannya. Dan dimaafkan yang sedikit darinya dengan syarat tidak basah pada empatnya dan tidak dengan perbuatannya. Dan jika tidak, maka tidak dimaafkan secara mutlak kerana mereka menyamaka asap itu sama dengan bendanya. (Kitab I’anatu at-Talibin, 1/88)
No comments: