Ads Top

Usaha Dua Pasangan Ini Menanam Pokok Memulihkan Hutan Di Brazil

Cuaca tidak menentu. Hutan besar di dunia, Amazon terbakar. Plastik-plastik juga dijumpai di lautan terdalam, Mariana Trench sedalam 36,000 kaki.

Inilah kesan tangan manusia yang banyak menghasilkan bahan plastik, dan menggunakan kemudahan alam yang ada dengan sewenang-wenangnya. Kemarahan para aktivis alam sekitar akhirnya meledak beberapa bulan yang lalu apabila Greta Thunbergh, aktivis alam sekitar dari Sweden bertindak melancarkan demonstrasi dan menyeru seluruh dunia mengadakan protes kepada perubahan iklim dunia.

Mungkin kita perlu belajar daripada dua insan kreatif ini, Sebastiao Salgado, seorang jurugambar profesional dan isterinya Lelia Deluiz, apabila mereka mengambil inisiatif untuk mula menanam pokok di satu daerah di Fazenda Bulcao, Brazil pada penghujung tahun 90-an.

Kredit gambar dari noonecares.me

Cerita Sebastiao, apabila beliau pulang untuk menetap di tanah airnya, dia terkejut kerana mendapati kawasan itu telah gondol dan kering.

“Hanya 0.5% daripada kawasan ini diliputi pokok. Ketika itu isteri saya mendapat idea untuk menanam semula hutan ini. Apabila kami mula melaksanakannya, serangga, burung dan ikan mula kembali, dan dengan ‘lahirnya’ semula pokok-pokok ini, saya juga seperti ‘dilahirkan’ kembali. Itulah saat yang paling penting dan bermakna”

Bermula pada tahun 1998, kedua-dua pasangan ini mengasaskan Instituto Terra, satu badan yang menumpukan kepada usaha untuk menghidupkan semula tanah yang kering dengan menanam pokok-pokok baru.

Selepas hampir 20 tahun, hutan-hutan telah tumbuh semula dan segalanya kembali seperti sediakala. Sebanyak 172 jenis burung telah kembali, begitu juga dengan 33 spesies mamalia, 293 spesies tumbuh-tumbuhan, 15 spesies reptilia, dan 15 spesies amfibia. Keseluruhan ekosistem telah berjaya dipulihkan.

Kredit gambar dari taschen.com

Mungkin kita fikir bahawa tidak banyak yang boleh kita lakukan pada situasi kita sekarang. Namun ia tidak bermakna kita tidak boleh melakukan apa-apa.

Sebuah universiti tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sudah memulakan gerakan ‘no-plastic’ dengan mengambil inisiatif untuk ‘mengharamkan’ setiap premis makanan di dalam universiti daripada menggunakan plastik dan straw. Selain itu air mineral juga tidak lagi dijual di kiosk. Alternatifnya adalah dengan menyediakan mesin penapis air yang bersih di kafe serta menggalakkan para pelajar membawa bekas makanan sendiri apabila ingin membeli makanan.




No comments:

Powered by Blogger.