Ads Top

Bolehkah Menghantar Barang Yang Haram?

Khidmat pesanan dan penghantaran makanan atau barang secara atas talian kini menjadi satu trend yang tidak asing, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Ia menjadi pilihan yang dapat menjimatkan masa dan memudahkan urusan seharian. Bayangkan jika dahulu orang perlu memandu untuk keluar makan tengah hari, berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, kini hanya perlu memilih apa yang ingin dimakan menerusi aplikasi telefon, bayar secara atas talian dan hanya tunggu makanan sampai di pintu pejabat atau rumah. Jimat masa dan tenaga.

Sesetengah orang pula menjadikan khidmat penghantaran ini sebagai satu punca pendapatan. Tetapi bagaimana pula jika barang atau makanan yang dihantar adalah tidak halal dan penghantarnya adalah orang Islam. Adakah ia dibenarkan?

Hukum Bertolongan Dalam Urusan Dosa

Secara asasnya Allah melarang umat Islam dalam urusan dan pertolongan yang melibatkan dosa. Hal ini disandarakan kepada ayat di bawah.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Janganlah kamu bertolongan dalam urusan dosa dan persengketaan.” (Surah al-Ma’idah 5:2)

Melalui kaedah ini, Mufti Wilayah Persekutuan juga memutuskan bahawa segala jenis urusan jual beli yang melibatkan perkara yang haram juga dikira haram kerana ia termasuk dalam dosa. Bermakna ia bukan hanya tentang makanan yang jelas haram seperti arak dan babi sahaja tetapi termasuklah barang yang difatwakan haram oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan seperti rokok dan vape.

Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no.1295 dalam Sunan)

Oleh kerana isu ini agak kompleks dan melibatkan pelbagai situasi, maka pihak Mufti Wilayah Persekutuan memperincikan lagi perbincangan ini kepada beberapa bahagian.

Pesanan Yang Bercampur Antara Barang Halal Dan Haram

1. Jika Diketahui Jumlah Makanan Dan Minuman Yang Halal Melebihi Haram

Dalam keadaan ini, pendapatan yang diperoleh dikira halal kerana Nabi SAW juga pernah berjual beli dengan orang musyrik dan ahli kitab dan harta mereka diketahui bercampur halal dan haram.

2. Jika Diketahui Jumlah Makanan Dan Minuman Yang Haram Melebihi Halal

Pendapatan yang diperoleh itu menurut Imam Ahmad lebih baik dielakkan kecuali jika ianya sedikit atau sukar untuk diketahui.

3. Jika Makanan/Minuman Yang Halal Dan Haram Tidak Dapat Dibezakan

Hasil pendapatannya tidak haram tetapi makruh mengambilnya.

Kini servis yang disediakan oleh pihak syarikat penghantar makanan sudah semakin ditambah baik. Sesetengahnya memberikan pilihan kepada ‘rider’ atau penghantar makanan untuk menghantar pesanan yang halal atau tidak. Seharusnya kemudahan ini dimanfaatkan oleh para penghantar Muslim. Tidak ada lagi alasan tidak ada pilihan kerana terpaksa menghantar makanan yang haram dan sebagainya.

Kesimpulan

Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan perkara haram juga jelas. Namun di antara kedua-dua perkara tersebut ada juga hal yang samar (syubhah). Perkara inilah yang jarang diketahui oleh orang ramai. Namun Rasulullah SAW mengatakan bahawa orang yang berusaha untuk menjauhi perkara yang samar, sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.




No comments:

Powered by Blogger.