Ads Top

Allah Menyebut Nama Hamba Yang Dicintai Kepada Malaikat

Pasti bangga dan terharu rasanya apabila diri kita dikenali oleh orang-orang besar. Pernah beberapa kali tular berita apabila permaisuri agong menegur rakyat jelata di media sosial – jika teguran sebegitu pasti sudah cukup membuat kita berasa bangga, apatah lagi jika diri kita dikenali bukan hanya oleh kerabat diraja, orang berpangkat besar malah disebut sendiri oleh Allah.

Hal ini pernah terjadi kepada Ubay bin Kaab, seorang penulis dan pencatat wahyu. Namanya pernah disebut sendiri oleh Allah dan disampaikan melalui Rasulullah SAW.

“Wahai Ubay, Jibril menyuruhku untuk membacakan ayat Al-Quran kepadamu”

Dengan penuh takjub dan terkejut Ubay menjawab, “Allah menyebut namaku kepadamu?”

“Ya, dia menisbahkanmu kepada malaikat tertinggi” (Yakni, menyebutkan namanya kepada malaikat yang paling tinggi).

Lalu Rasulullah SAW menyampaikan ayat Al-Quran kepada Ubay untuk dicatatnya iaitu Surah Bayyinah daripada ayat 1 hingga 8.

Ubay menangis terharu dan bahagia kerana keutamaan yang diberikan oleh Allah kepadanya. Ubay juga merupakan sahabat yang mencadangkan agar ayat-ayat Al-Quran yang ditulis pada tulang, kulit dan pelepah kurma dikumpulkan menjadi satu mushaf Al-Quran sahaja.

Ketahuilah apabila Allah mencintai seseorang hamba, maka Allah akan memanggil Jibril, dan memberitahu Jibril supaya mencintai juga hamba itu. Jibril pula akan mengumumkan kepada seluruh makhluk di langit supaya turut mencintainya. Hadis ini disebutkan sendiri dalam Kitab Sahih Al Bukhari dan Muslim.

“Apabila Allah mencintai seorang hamba maka Dia menyeru, sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah ia. Lalu Jibril mencintainya. Kemudian Jibril menyeru penghuni langit, sesungguhnya Allah mencintai fulan maka cintailah ia oleh kalian. Lalu penghuni langit mencintainya. Kemudian diberikan padanya penerimaan di bumi.” (HR Al Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah R.anhu, lafaz milik Al-Bukhari)

Wallahua’lam.




No comments:

Powered by Blogger.