Ads Top

Nad Zainal Belajar Main Biola, Jiwai Watak Tun Siti Hasmah

Pelakon Nad Zainal mengambil inisiatif sendiri dengan memasuki kelas biola bagi memantapkan lagi dirinya dengan instrumen muzik itu bagi menampilkan lakonan berkesan sebagai Wanita Pertama Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 29, diberi tanggungjawab menggalas peranan sebagai Tun Hasmah menerusi filem biopik Hasmah: ‘Bila Deh Bertemu Det’ yang akan memulakan penggambarannya pada Mac tahun hadapan.

Teruja dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan pihak produksi Tune Production Sdn. Bhd, Nad berkata dia akan cuba memberikan yang terbaik bagi menzahirkan watak Tun Hasmah di layar perak.

“Ketika menerima tawaran berlakon filem ini saya rasa seperti tidak percaya, ibarat mimpi saya dah tercapai sebab memang sudah lama saya mendambakan untuk membawakan watak dalam filem biopik. Lepas itu bila dapat tahu, saya bawa karakter Tun Hasmah lagilah saya gementar, tapi saya cuba berikan yang terbaik dalam usaha untuk ‘potray’ Tun Hasmah di layar lebar.

“Sebagai persediaan, walaupun penggambaran belum lagi bermula, saya ambil inisiatif sendiri dengan menghadiri kelas biola, seperti kita tahu Tun Hasmah memang berkebolehan bermain alat muzik tersebut.

“Kelas berlangsung seminggu sekali dan untuk filem ini saya dituntut untuk memainkan dua buah lagu kegemaran Tun Hasmah dan Tun Mahathir iaitu Getaran Jiwa dan Fly Me To The Moon. InsyaAllah, saya cuba untuk tidak kelihatan kekok memainkan biola sebab itu saya ambil kelas ini. Kelas biola kita perlu belajar ‘note’ menerusi tiga buku dan setakat ini saya dah habis satu buku. Lepas ini saya cuba untuk habiskan lagi dua buku dalam masa terdekat ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pra pelancaran filem Hasmah: ‘Bila Deh Bertemu Det’ yang berlangsung di The Love, Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, ibu kepada Fahad Ibrahim itu juga mendedahkan dia perlu menurunkan berat badannya sebanyak tiga kilogram bagi menampilkan fizikal sama seperti Tun Hasmah.

“Paling seronok saya nak bawa watak Tun Hasmah ialah kami berkongsi ketinggian yang sama iaitu 150 sentimeter. Cuma sekarang saya tengah cuba tidak makan nasi untuk kurangkan lagi tiga kilogram (kg) berat badan dari 48 kg kepada 45 kg agar nampak sama seperti ciri fizikal Tun Hasmah.

“Saya sebenarnya sangat risau dengan penerimaan penonton nanti sama ada jadi atau tidak lakonan saya sebagai Tun Hasmah tapi bagi memantapkan lagi karakter watak itu saya dah habis baca buku autobiografi beliau selain sering menonton video wawancara Tun Hasmah di Youtube,” katanya lagi.

Selain Nad, filem itu turut dibintangi Hasnul Rahmat dan Zamarul Hisham. Pihak produksi buat masa ini masih belum memutuskan pengarah bagi naskhah ini dan setakat ini nama empat pengarah ini menjadi perhatian mereka iaitu Kabir Bhatia, Erma Fatima, Osman Ali dan pengarah Indonesia, Faozan Rizal yang merupakan sutradara filem biopik Habibie & Ainun. – KopiPlanet.com

The post Nad Zainal Belajar Main Biola, Jiwai Watak Tun Siti Hasmah appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.