Ads Top

“Ibu, Cacing Bersin Bagaimana?”

Ini merupakan soalan yang ditanya oleh anak rakan saya. Ada sesiapa yang tahu jawapannya tanpa meng’google’ terlebih dahulu? Pepatah Inggeris mengatakan;

“A child can ask questions a wise man cannot answer.”

Terdapat beberapa sebab kenapa kanak-kanak bertanya soalan kepada orang dewasa. Menurut satu kajian yang dibuat di University of Michigan dan diterbitkan dalam jurnal Child Development Nov/Dec 2009, sebab utama kanak-kanak bertanya soalan adalah kerana mereka inginkan penjelasan ke atas apa yang sering bermain-main di fikiran mereka hasil dari penerokaan dan pemerhatian mereka.

Mereka akan bertanya soalan kepada orang yang paling mereka percaya. Oleh itu, jika anak selalu bertanya banyak, banyak dan banyak soalan kepada anda, anda sepatutnya berbangga dan terharu kerana andalah orang yang paling dipercayai anak.

Jangan matikan sifat ingin tahu anak dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak menjawab soalan mereka ataupun mengeluh kerana sering ditanya soalan oleh anak.

Kajian lain pula mendapati bahawa apabila soalan-soalan kanak-kanak dilayan oleh orang yang dipercayainya, dia akan terus bertanya kerana ingin mewujudkan ‘BONDING‘ yang berterusan dengan individu tersebut. Terharu bukan?

Richard Saul Wurman, pengasas TED Conference melahirkan kerisauan beliau tentang sistem pendidikan.

Menurut beliau, di sekolah para pelajar diberi ganjaran (markah) hanya apabila menjawab soalan dengan tepat bukannya kerana menanyakan soalan yang baik.

Beliau merumuskan bahawa inilah yang menyebabkan kanak-kanak yang tidak putus-putus bertanyakan soalan ketika usia awal akhirnya kurang bertanya soalan apabila tahap persekolahan mereka meningkat.

Interaksi yang baik berlaku dalam bilik darjah apabila lebih banyak soalan ditanya oleh pelajar berbanding ditanya oleh guru.

Ibu bapa dan guru-guru sekalian, layanlah soalan-soalan yang ditanya oleh kanak-kanak kerana ‘wisdom begins with wonder‘, kebijaksanaan bermula dengan sifat ingin tahu.

Jangan matikan sifat ingin tahu itu.




No comments:

Powered by Blogger.