Ads Top

Kabir Bhatia, Erma Fatima & Osman Ali Antara Calon Pengarah Filem’ Hasmah’

Seramai empat pengarah menjadi perhatian penerbit filem biopik tentang Wanita Pertama Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bagi mengarahkan filem yang bakal memulakan penggambarannya pada Mac tahun hadapan.

Menurut Pengarah Urusan Tune Production Sdn Bhd, Hafiz Datuk Rozlan, setakat ini empat pengarah termasuk seorang dari Indonesia menjadi pertimbangan pihak produksi untuk tujuan tersebut.

Antara nama pengarah yang menjadi sebutan mereka ialah Kabir Bhatia, Erma Fatima, Osman Ali dan pengarah dari negara jiran, Faozan Rizal yang pernah mengarahkan filem autobiografi percintaan presiden ketiga Indonesia, Habibie & Ainun.

Ketika mengulas mengenai kebarangkalian untuk memilih pengarah luar sebagai pengarah filem ‘Hasmah: Bila Deh Bertemu Det’, Hafiz menjelaskan perkara itu tidak sepatutnya dilihat sebagai satu isu yang perlu diperbesar-besarkan.

“Bagi saya apa-apa sahaja naskah yang kita berikan kepada pengarah, kita tidak boleh tengok daripada latar belakang atau asal-usul mereka. Kita seharusnya mengukur kepada hasil kerja mereka selama ini. Sebagai contoh, seorang pelakon kalau dia melakonkan teatar Hamlet karya William Shakespeare, itu tidak bermaksud mereka hendak jadi orang putih. Itu adalah tugas mereka untuk memahami konteks lakonan agar mereka dapat menjiwai sesuatu watak yang ditawarkan.

“Tidak dinafikan Faozan memang bagus tapi kami juga tidak boleh kecualikan yang kami masih perlukan khidmat pengarah tempatan untuk bersama-sama menjayakan filem ini. Seperti contoh, Erma Fatima kalau filem ini diarahkan olehnya, dia boleh melihat dari sudut seorang wanita memandangkan filem ini berkisarkan tentang kehidupan Tun Hasmah. Setiap pengarah ada kelebihan masing-masing,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media pra-pelancaran filem Hasmah yang berlangsung di The Love, Matic, Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Eddin Syazlee Shith. Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Filem yang akan mengisahkan tentang perjuangan dan kisah percintaan Tun Hasmah bersama suami, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu bakal dibintangi Nad Zainal, Hasnul Rahmat dan Zamarul Hisham.

Bakal mengadakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Singapura, London, Kobe dan New York, filem ini dianggarkan menelan belanja sehingga RM7 juta.

Ketika ditanya bila pihak produksi akan membuat pemilihan calon pengarah yang bersesuaian dengan filem ini, Hafiz menjelaskan, “Kami akan mengadakan pertemuan dengan Tun Hasmah dalam minggu ini dan akan meminta pandangan beliau mengenai perkara ini. Dalam perancangan, mungkin kami akan memilih dua pengarah untuk bekerjasama mengarahkan filem biopik ini.”

Filem Hasmah yang bergenre biopik romantik ini sudah mendapat perkenan dan izin daripada Tun Hasmah malah beliau mahukan karya agung ini dihasilkan sebaik mungkin agar ia menjadi rujukan untuk generasi akan datang. – KopiPlanet.com

The post Kabir Bhatia, Erma Fatima & Osman Ali Antara Calon Pengarah Filem’ Hasmah’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.