Ads Top

Prof Datin Paduka Khatijah Yusof, Tokoh Berpengaruh Dalam Bidang Sains Dunia Islam

Prof Datin Paduka Khatijah Yusoff merupakan seorang pakar mikrobiologi, biologi molekul dan bioteknologi telah dinobatkan sebagai salah seorang wanita Islam yang paling berpengaruh dalam bidang sains di dunia Islam oleh Muslim-Science.Com.

Ia merupakan sebuah portal atas talian yang menumpukan kepada usaha untuk menyemarakkan kembali kemajuan dan budaya sains dalam dunia Islam.

Prof Khatijah pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dari 2008 sehingga 2013.

Beliau telah dilahirkan di Pulau Pinang dan mendapat Biasiswa Rancangan Colombo untuk melanjutkan pelajarannya di La Trobe University, Australia.

Pada tahun 1979, beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dengan Kepujian dalam bidang Mikrobiologi.

Beliau telah menyandang jawatan sebagai pensyarah di UPM pada tahun 1983 setelah mengikuti pengajian dalam bidang genetik mikrob di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Beliau juga telah diberi pengiktirafan dalam bidang pengajaran dan penyelidikan berkaitan mikrobiologi, iaitu biologi molekul NDV serta telah merangkul beberapa anugerah lain, iaitu Anugerah Saintis Muda Negara pada 1990 dan Anugerah Carlos J Finlay Proze bagi biologi oleh UNESCO pada 2005.

Pada 13 Januari 2014, Muslim-Science.Com mengeluarkan senarai 20 saintis wanita Islam sebagai pengiktirafan kepada kejayaan luar biasa yang karier yang diceburi.

Ia merupakan senarai yang julung kali dikeluarkan oleh pihak Muslim-Science.Com yang dipilih melalui lima rantau utama Dunia Islam, iaitu Asia Tenggara dan Asia Tengah, Teluk dan Parsi, Maghribi (Morocco) dan Afrika Utara serta Amerika Utara dan Eropah.

Prof Khatijah banyak menjalankan kajian dalam bidang genetik mikrob, biologi molekul berkaitan virus penyakit Newscatle (NDV) dan paramiksovirus yang lain.

Kesimpulan

Antara sifat yang dapat dipelajari melalui Prof Khatijah ini ialah kesungguhan dan ketekunan beliau terhadap ilmu serta semangat yang jitu.

Sebagai wanita, tiada istilah sukar untuk berjaya disebabkan halangan jantina dan sebagainya kerana wanita zaman sekarang mampu melakukan dan mencapai apa sahaja dalam bidang yang diceburi selagi ia menepati syariat.

Sumber:
Merdeka Award – Professor Datin Paduka Dr Khatijah Mohamad Yusoff




No comments:

Powered by Blogger.