Ads Top

Bonda Nor – Insan Yang Membina Legasi Melalui Pena

“Saya bukan orang kaya yang mampu mewakafkan harta kekayaan apabila mati. Anak-anak pula, tiada jaminan yang mereka ini akan mendoakan apabila saya tiada. Tapi, saya yakin tulisan saya, yang mengajak kepada kebaikan, mampu menjadi pahala yang berpanjangan selagi ada orang membacanya. Moga Allah makbulkan permintaan saya.”

Itulah yang sering disebut oleh Puan Norli Madlan atau lebih dikenali dengan nama pena beliau, Bonda Nor, setiap kali membimbing barisan penulis baharu dalam bengkel penulisan.

Tagline ‘Tulislah, bina bekalan untuk kau tinggalkan’ sudah sinonim dengan perjuangan beliau melatih para penulis berdakwah menerusi pena.

Dengan lambakan bahan-bahan bacaan yang bersifat hiburan semata-mata dan berunsur lucah, beliau terpanggil untuk menggunakan bakat yang Allah rezekikan untuk menghasilkan karya yang bermanfaat, sarat dengan mesej dan panduan kehidupan.

Novel solo beliau Saya Tunggu Awak diilhamkan daripada kuliah Hidayatus Salikin, kitab karangan Imam Al-Ghazali yang dihadirinya selama seminggu. Sepanjang tempoh kuliah, keinginan untuk berkongsi mutiara ilmu itu dengan khalayak semakin membuak-buak.

“Saya bukan seorang ustazah yang ada kelayakan untuk berceramah dan menyampaikan dakwah. Jadi saya mula menulis. Mengolah mesej dan ilmu kehidupan daripada kitab itu dalam bentuk novel.”

Tanpa asas ilmu penulisan, hanya berbekalkan keinginan untuk menyampaikan mesej dakwah, beliau berjaya menyiapkan novel setebal 640 mukasurat itu.

“Novel ini ialah satu keajaiban buat saya. Satu anugerah yang saya anggap sebagai amanah yang tak mungkin saya sia-siakan.”

Bertitik-tolak daripada kejayaan itu, Bonda Nor terus mengorak langkah dalam penulisan dakwah. Konsep penulisannya ialah dakwah santai yang mampu menjentik jiwa untuk semua golongan.

Ketika ini, beliau telah mempunyai 33 karya yang telah diterbitkan dan hampir kesemuanya mencapai jualan bestseller. Paling terkenal adalah buku-buku daripada siri Pujuklah Hati.

Salah satunya, Be Strong telah menerima Anugerah Pilihan Pembaca Popular dan Berita Harian 2017. Dan Bangkit pula telah menerima Anugerah Pilihan Pembaca Popular Berita Harian 2018.

Setelah 12 tahun berkecimpung di dalam bidang penulisan, mari kita dekati rahsia kejayaan Bonda Nor, pengarang kelahiran negeri Hang Tuah ini.

#1- Pergantungan Kepada Allah S.W.T

Bermula dengan rasa cemburu melihat naskhah al-Mathurat dan buku Iqra’ yang dijadikan panduan dan amalan oleh jutaan umat Islam, Bonda Nor berdoa kepada Allah S.W.T supaya beroleh pahala berterusan walaupun jasadnya sudah tiada di dunia.

Setiap hari dengan linangan air mata, beliau tidak jemu memohon supaya menjadi seorang penulis. Baginya, penulisan yang berkesan mampu mempengaruhi orang lain untuk berusaha menjadi lebih baik.

#2- Tidak Jemu Berkongsi Ilmu

Kata Bonda Nor;

“Saya mahu kongsi sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman sebelum saya mati.”

Atas dasar itulah, beliau sanggup berkorban tenaga, masa dan wang ringgit, terbang dari Terengganu ke Lembah Kelang untuk menyebarkan ilmu kepada para peserta. Sebagai seorang ibu kepada tujuh orang anak, sudah tentu perkara ini tidak mudah.

Namun, baginya ini soal tanggungjawab dan juga amanah. Beliau perlu meneruskan perjuangan dan berharap segala pengorbanan itu diterima Allah sebagai amalan.

#3- Berpemikiran Kreatif

Sebagai pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i, beliau bersama-sama pasukan Membaca Ekspres-i berjaya menyebarkan teknik mudah membaca ke seluruh Malaysia. Teknik yang menggunakan kaedah imaginasi dan lenggok bunyi ini terbukti berkesan dalam membantu anak-anak seawal tiga tahun untuk membaca.

Ilham ini tercetus ketika anak kedua beliau, yang kini berusia 16 tahun, kurang yakin untuk membaca apabila menggunakan kaedah ejaan dan fonetik. Kini, Bonda Nor mengendalikan hampir 50 orang speaker dan lebih 500 orang fasilitator Ekspres-i di seluruh Malaysia.

#4- Restu Suami Itu Perlu

Pada awal penglibatan beliau dalam bidang penulisan, suami tidak memberikan sokongan. Setiap kali menulis, beliau diselubungi rasa bersalah. Namun ilham datang mencurah-curah, perlu untuk beliau luah dan dipindahkan dalam bentuk naskhah.

Ketika itu, beliau tidak pernah putus asa dan terus berdoa kepada Allah. Beliau meminta suami untuk solat istikharah bersama-sama, supaya apa-apa keputusan adalah daripada Allah.

Ternyata doa beliau dimakbulkan Tuhan. Suami dengan senang hati memberi restu dan menjadi penyokong nombor satu.

#5- Berani Membina Legasi

Bonda Nor ialah seorang wanita yang merdeka jiwanya. Dia tahu apa yang dia mahu dan bersungguh-sunguh untuk melaksanakannya.

“Allah itu ada, bukan?”

Tegasnya setiap kali berdepan dengan masalah dan konflik diri. Apa-apa yang dirasakan mustahak, sama pentingnya kepada ummah. Oleh hal yang demikian, beliau membina pasukan speaker dan fasilitator Kaedah Membaca Ekspres-i untuk menyebarkan manfaat ilmu ini kepada masyarakat.

Beliau juga mengasaskan Akademi Bonda Nor, hasil cetusan Galeri Ilmu Media Group, yang melatih penulis baharu untuk menghasilkan karya dakwah santai yang laris di pasaran. Terkini,

Kelab Sahabat Bonda Nor dilancarkan sebagai platform menghimpunkan para sukarelawan dan aktivis kerja-kerja kebajikan dalam mengatur program kemasyarakatan di seluruh Malaysia.

#6- Business-Minded Tanpa Fikir Keuntungan

Mengendalikan berpuluh-puluh bengkel penulisan dan teknik membaca setiap tahun dengan jumlah penyertaan maksimum, pastinya memberikan pulangan yang besar kepada beliau.

Namun, fokus utama beliau ialah perkongsian ilmu dan pengalaman. Bukan berpaksikan kepada keuntungan semata-mata. Malah, dalam setiap bengkel kelolaannya, akan ada kuota peserta yang ditaja sepenuhnya. Kata beliau;

“Ini ialah bahagian amal jariah saya.”

#7- Perjuangkan Syurga

Beliau sentiasa memikirkan kaedah yang terbaik untuk terus mengumpul pahala dan sebarkan manfaatnya kepada ummah. Antara projek mega yang telah beliau kendalikan menerusi

Akademi Bonda Nor ialah siri buku muhasabah diri Bercakap Dengan Cermin yang melibatkan 215 orang penulis dari seluruh negara.

Terdapat sembilan buah buku dalam siri ini dan sebanyak 233 kisah dinukilkan, hasil daripada Seminar Penulisan Mega Bonda Nor yang diadakan pada bulan November 2018.

Istimewanya, 100% hasil royalti buku-buku ini akan diinfakkan kepada projek pembinaan kompleks anak yatim Baitul Jannah di Kodiang, Kedah yang dikendalikan oleh Cikgu Abu Hassan Morad dan Prof Muhd Kamil Ibrahim.

Bonda Nor ialah contoh pengarang wanita yang progresif. Beliau bijak menggunakan kreativiti dan bakat dalam penulisan untuk menyebarkan manfaat.

Paling menarik, beliau berani membina dan mencipta legasi dalam melahirkan generasi penulis yang sentiasa menyampaikan kebaikan melalui penulisan.




No comments:

Powered by Blogger.