Ads Top

Berdoa Sekadar Cukup Syarat Atau Sepenuh Hati

Berapa banyak dari kita yang berdoa memanggil Allah tanpa ketulusan hati. Berdoa sekadar basa-basi atau mungkin sebagai cukup syarat selepas solat.

Ada juga yang menadah tangan dan mengaminkan doa yang diutarakan oleh imam tanpa menghayati apa yang didoakan oleh imam tersebut.

Ada yang lagi tidak masuk akal ialah jarang atau langsung tidak berdoa dalam solat atau semasa menjalani kehidupannya sehari-hari.

Namun, ia semua mungkin akan berubah saat anda mempunyai kesulitan dan masalah yang menimpa diri anda. Perasan atau tidak, gaya hidup anda akan berubah saat anda ditimpa kesusahan hidup.

Waktu itu anda akan mula menyalahkan takdir dan kesilapan diri sendiri. Anda akan mempersoalkan mengapa kejadian itu menimpa diri anda dan pada akhirnya anda akan berbalik kepada tuhan.

Waktu itu, anda akan berfikir bahawa tuhan yang Maha Berkuasa atas tiap sesuatu dan hanya kepadaNya anda boleh meminta agar dipermudahkan urusan dalam menghadapi segala masalah.

Anda akan mula berdoa dengan ikhlas dan tulus serta meletakkan penuh pengharapan kepadaNya kerana waktu itu, keyakinan anda kepadaNya bertambah dan anda menginginkan sesuatu dariNya, iaitu semoga segala urusan dan masalah anda dapat diselesaikan.

Ujian Bukan Tanda Allah Marah

Sedar atau tidak, itu merupakan hakikat kehidupan setiap manusia. Apabila senang, kita akan cenderung untuk melupakan sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat atau tidak penting, namun kita akan mula mencariNya apabila dilanda sesuatu.

Namun, Allah tidak pernah marah. Allah cuma ingin menegur kesilapan yang kita lakukan itu agar jangan meneruskan sikap demikian.

Allah melemparkan ujian supaya manusia tidak terlalu jauh terpesong dariNya dan sentiasa berada di jalan yang diinginkanNya.

Kereta yang tersilap jalan sewaktu pemanduan pasti akan menemui jalan lain di hadapannya untuk kekal berada di jalan yang betul agar mampu sampai ke destinasi dengan selamat.

Begitu juga dengan manusia. Sedang asyik kita menjalani kehidupan, kadang-kadang kita akan tersasar jua dan ujian serta peringatan itu merupakan kompas yang diperlukan untuk membantu perjalanan anda.

Dengan ujian yang dilemparkan itu juga akan membuatkan anda lebih berwaspada dan berhati-hati dalam menghadapi ujian lain yang bakal hadir.

Itulah bukti bahawa Allah tidak pernah mengabaikan hambaNya. Malah, Allah akan sentiasa memegang hati hambaNya supaya kekal berada di jalanNya.

Apa yang paling penting, bukalah minda anda untuk melihat setiap hikmah di sebalik ujian yang ada. Jangan cepat berputus asa dengan kehidupan dan jadikan perjalanan hidup anda sebuah pengalaman indah untuk dijalani.

Doa juga merupakan kunci utama yang perlu ada untuk kekuatan anda menjalani kehidupan. Jangan berdoa hanya sekadar cukup syarat, tetapi berdoalah dengan mata hati.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.