Ads Top

Asal Usul Zikir Ma’thurat

Pernah lihat buku kecil dan nipis ini dengan perkataan Ma’thurat di muka hadapan?

Buku ma’thurat adalah himpunan zikir dan wirid yang diambil daripada Rasulullah SAW. Ia adalah bacaan doa dan amalan baginda sendiri, kemudiannya diajarkan pula kepada para sahabat baginda.

Ma’thurat sendiri adalah kalimah jama’ yang berasal daripada perkataan ma’thur yang membawa erti sesuatu yang diambil daripada Al-Quran dan hadis.

Buku Ma’thurat yang biasa kita lihat dijual di pasaran itu sebenarnya telah disusun oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Beliau menyusunnya berdasarkan sekian banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang terdapat dalam kitab-kitab sunan lalu menjadikan ia bacaan yang seragam untuk para pengikut Ikhwanul Muslimin.

Oleh kerana Ma’thurat mengumpulkan pelbagai jenis doa, pastilah ia merangkumi juga pelbagai kelebihan-kelebihan beramal dengannya. Antara kelebihan Ma’thurat ialah:

#1 – Terpelihara daripada gangguan syaitan daripada pagi hingga petang dan dari petang hingga pagi berikutnya.

#2 – Terpelihara daripada bahaya dan perkara-perkara yang tidak dingini.

#3 – Pahala seperti membaca sebahagian besar Al-Quran.

#4 – Keperluannya dicukupkan oleh Allah.

#5 – Layak mendapat syafaat pada hari kiamat.

Ada juga yang membahagikan antara Ma’thurat Kubra (panjang) dan Ma’thurat Sughra (pendek).

Bezanya hanya kandungan. Ma’thurat versi pendek mempunyai pilihan doa dan bacaan yang lebih sedikit berbanding Ma’thurat versi panjang. Ia boleh disesuaikan dengan tempoh masa lapang yang ada bagi setiap orang, dan biasanya dibaca pada waktu pagi dan juga petang.

Al-Ma’thurat dimulai dengan ucapan ta’awuz iaitu,

أعوذُ باللهِ السميعِ العليمِ من الشيطانِ الرجيمِ
(A’udzu billahi minassyaitonirrajim)

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan dari Allah, yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, daripada syaitan yang terkutuk”

Kemudian ia bersambung dengan bacaan surah Al-Fatihah, sebahagian daripada Surah Al-Baqarah, Surah Taha, Surah Al-Israa’ dan lain-lain. Bacaan Ma’thurat biasanya hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja untuk dihabiskan.

Buku Ma’thurat yang telah disusun oleh Imam Hassan Al-Banna merupakan satu inisiatif yang sangat baik kerana mampu membantu Muslim untuk mudah mendapatkan koleksi bacaan zikir yang betul untuk diamalkan. Malah, kini terdapat pelbagai aplikasi di telefon pintar yang telah menukarkannya ke dalam bentuk digital supaya lebih mudah diakses oleh sesiapa sahaja.

Dapatkan kemudahan Ma’thurat digital di sini: Google Play




No comments:

Powered by Blogger.