Ahli Neraka Bertanya : Mana Si Hina Itu?
Ahli neraka mencari orang beriman dalam neraka kelak. Mengapa? Mata manusia singkat pandangannya. Hina dan mulia biasanya dinilai pada timbunan harta atau anugerah pangkat.
Tanpa kanta agama, mata hati orang yang tidak beriman akan terus rabun atau buta sampai ke mati.
Rabun ini dibawa terus sampai ke dalam neraka. Allah menceritakan bagaimana ketika berada dalam neraka kelak, si kafir tercari-cari orang beriman yang disangkanya sebagai manusia hina, firman Allah S.W.T yang bermaksud :
Dan penduduk neraka itu tetap akan bertanya sesama sendiri: “Mengapa kita tidak melihat orang yang dahulu kita kirakan mereka sebagai orang jahat (lagi hina)? “Adakah kita sahaja jadikan mereka bahan ejek (sedang mereka orang yang benar)? Atau mata kita tidak dapat melihat mereka?Surah Sad 38:62-63
Semasa di dunia dahulu bukan setakat dihina, orang beriman ini pada pandangan mereka adalah manusia yang paling sesat.
Subhanallah! Inilah perangai manusia, arang terpalit pada batang hidung sendiri tidak dilihat, sebaliknya bedak di muka orang beriman dilihat sebagai najis.
Jika mereka ada “cermin agama” sudah pasti mereka mampu menilik arang di muka mereka. Namun apa daya, inilah bahananya orang yang malas beragama. Firman Allah yang bermaksud:
Sesungguhnya orang yang derhaka, mereka selalu tertawakan orang beriman. Dan apabila orang beriman lalu dekat mereka, mereka mengerling dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira; dan apabila mereka melihat orang yang beriman, mereka berkata: “Sesungguhnya orang itu adalah golongan sesat!” Surah al-Mutaffifin 83:29-32
Tambah parah, ketika diseksa dalam neraka, segala pangkat kemuliaan mereka dijadikan bahan ejek malaikat neraka yang sangat menyucuk jiwa. Inilah seksaan mental yang jauh lebih dahsyat dari seksaan fizikal:
(Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): “Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah neraka. “Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – daripada air panas yang menggelegak”. (Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)” (Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): “Sesungguhnya inilah (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!” Surah al-Dukhan 44:47-50
Pada hari kiamat kelak, mereka pula dihina Allah dengan tempelak yang dahsyat. Allah mengarahkan mereka berdiam diri dan jangan sesekali bersuara.
Masya Allah! Alangkah hinanya jika ketika mahu bersuara dalam sebuah program dihadiri ramai seperti mesyuarat jabatan, tiba-tiba ketua kita menyergah sambal berkata “Diam wahai si hina! Jangan bercakap! Aku tak mahu dengar suara kamu!”
Berbeza pula perihal orang beriman, Allah sendiri membela hambaNya yang beriman. Aduhai! Sungguh manis! Firman Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;
(Berkatalah penghuni neraka)”Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang yang zalim.” (Allah) berfirman: “Diamlah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon sesuatupun) kepadaku! “Sesungguhnya dahulu ada sekumpulan diri hamba-Ku (di dunia dahulu) memohon kepada-Ku dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat.” “Maka kamu jadikan mereka bahan ejekan sehingga ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati balasan-ku, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka. “Sesungguhnya aku membalas mereka pada hari ini (dengan balasan terbaik) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang yang berjaya” Surah al-Mu’minun 23:107-111
Kisah dalam ayat di atas belum berlaku, kerana kiamat belum berlaku. Lalu apa gunanya Allah menceritakan kepada kita peristiwa yang belum berlaku?
Tidak lain, Allah mahu mengingatkan kita agar tidak salah langkah memilih laluan orang yang sombong dan suka memperlekeh orang lain yang berbuat baik.
Jika sudah diberitahu di depan sana ada lubang besar yang bakal meragut nyawa, tiba-tiba kita tetap terjatuh juga maka itu tanda mudah kita sangat kurang kecerdikan akal.
Bacalah al-Quran, nescaya kita akan dapat melihat banyak lubang dan menyelamatkan diri dari terjerumus ke dalamnya.
No comments: