Yesterday Kembalikan Nostalgia The Beatles, Banyak Selit Nilai Pengajaran
Tajuk: Yesterday
Tarikh Tayangan: 27 Jun 2019
Durasi: 1 jam 57 minit
Genre: Komedi / Drama
Pengarah: Danny Boyle
Pelakon: Himesh Patel, Lily James, Ed Sheeran, Ana de Armas, Kate McKinnon, Lamorne Morris
Klasifikasi: P13
Tanpa kehadiran pelakon terkenal serta publisiti hebat namun filem edaran United International Pictures, Yesterday punya kehebatan dan aura tersendiri. Filem yang berlatar belakangnya kisah muzikal fantasi ini memberi tribute kepada kumpulan terkenal era 1960-an, The Beatles.
Diarahkan oleh Danny Boyle, Yesterday menampilkan barisan pelakon seperti Himesh Patel, Lily James, Kate McKinnon, Ana de Armas & Lamorne Morris. Bukan itu sahaja, Yesterday juga turut menampilkan penampilan istimewa Ed Sheeran bersama pengacara program bual bicara terkenal, James Corden, di mana kedua-dua figura terkenal ini membawa watak diri sendiri.
Perjalanan Yesterday bagi penulis mudah difahami. Ia secara asasnya membawa penonton ke sebuah bandar kecil tepi pantai Inggeris, di mana seorang penyanyi dan penulis lagu bernama Jack Malik menyimpan impian untuk menjadi terkenal.
Walaupun rakan baik sejak kecil, Ellie, terus menyokongnya, impiannya sering gagal. Suatu hari, dunia berdepan satu insiden misteri apabila bergelap selama 12 saat dan pada ketika itu juga Jack terlibat kemalangan dengan sebuah bas. Apabila Jack sedar, dia mendapati tiada seorang pun mengenali The Beatles kecuali dirinya.
Dengan bantuan Debra, ejen muzik Amerika, dia mula menyanyikan lagu-lagu kumpulan itu ibarat lagunya sendiri. Ini membuatkannya mula terkenal tetapi kini Jack turut berdepan risiko kehilangan Ellie, rakan baik yang selama ini dalam diam-diam diminati olehnya.
Pada pandangan penulis, filem Yesterday adalah khusus buat peminat The Beatles. Banyak lagu-lagu daripada band yang dianggotai oleh John Lennon, George Harrison Paul McCartney dan Ringo Starr dimainkan di dalam filem ini seperti I Wanna Hold Your Hands, Obladi Oblada, Let It Be dan Yesterday.
Bagaimanapun Boyle selaku penerbit bersama Tim Bevan, Eric Fellner, Bernie Bellew, Matthew James Wilkinson dan Richard Curtis mengambil langkah bijak dengan meletakkan Sheeran dan Corden sebagai penyeri di dalam filem ini.
Jadi bagi anda yang mungkin tidak meminati The Beatles, kemunculan mereka sedikit sebanyak memberi mood yang berbeza.
Dari sudut lakonan pula, penulis memuji keputusan pihak produksi memilih Himesh Patel sebagai Jack Malik. Walaupun dia mungkin tidak berapa dikenali tapi penulis merasakan Patel mempunyai bakat besar untuk digilap. Selain lakonan mantap, Patel juga mempunyai suara yang sedap didengar.
Dari sudut nilai moral dan pengajarannya pula, Yesterday sebenarnya mengingatkan penonton bahawa pentingnya untuk menjadi diri sendiri dan tidak menciplak atau mengakui karya orang lain sebagai karya sendiri.
Selain itu, ia turut mengajar kita agar jangan sesekali melupakan insan yang telah banyak berkorban biarpun kini anda sedang berada di puncak kejayaan.
Jangan lupa saksikan Yesterday di pawagam berdekatan anda untuk hiburan muzikal anda minggu ini! – KopiPlanet.com
The post Yesterday Kembalikan Nostalgia The Beatles, Banyak Selit Nilai Pengajaran appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: