Ads Top

Mengapa Wujudnya Larangan Mencabut Uban

Ramai di antara kita yang cuba menutup usia sebenar dengan mewarnakan rambut, terutamanya bagi lelaki. Apabila dilihat uban-uban yang timbul atau rambut yang bertukar warna putih, maka ramai di kalangan kita akan cuba mewarnakan rambut atau meletakkan inai.

Namun, tahukah anda, mereka yang beruban mempunyai ganjaran yang besar di sisi Islam. Malah, Rasulullah SAW juga dikatakan mempunyai uban-uban di bahagian kepalanya.

Uban membawa maksud rambut yang telah berubah menjadi putih. Ia terjadi kerana zat pewarna yang disebut sebagai melanocytes. Zat ini akan berkurang seiring dengan peningkatan usia. Disebabkan itulah orang tua sinonim dengan uban di kepala.

Namun, tahukah anda, pakar kesihatan menyatakan bahawa golongan muda bahkan juga kanak-kanak boleh dipengaruhi uban seawal usia mereka. Hal ini disebabkan oleh faktor genetik dan baka oleh keturunan mereka.

Ia juga boleh disebabkan oleh penyakit seperti kekurangan vitamin B12 dan zat besi, tekanan yang melampau disebabkan masalah hidup yang dialami, kerap menggunakan pewarna dan juga pengering rambut yang boleh merosakkan kulit rambut dengan cepat serta gemar memakan makanan ringan seperti maggi dan sebagainya.

Dapat disimpulkan bahawa, gaya hidup yang kurang baik terutamanya dari segi pemakanan mampu memainkan peranan yang besar dalam melahirkan rambut yang sihat. Oleh itu, kita seharusnya lebih peka terhadap pola hidup sendiri.

Mengapa Uban Tidak Boleh Dicabut

Apabila melihat rata-rata komen yang dilontarkan netizen mengenai uban, ramai yang melarang untuk mencabut uban. Hal ini kerana, terdapat hadis nabi berkenaan larangan mencabut uban dan kebanyakan jumhur ulama’ berpendapat bahawa larangan tersebut membawa maksud kepada hukum haram.

Namun, adakah benar larangan tersebut dan apakah pula status hadis itu? Menurut Mufti Wilayah dan beberapa ulama’ mengatakan bahawa hukumnya tidaklah sampai kepada haram, namun hanya makruh sahaja.

يُكْرَهُ أَنْ يَنْتِفَ الرَّجُلُ، الشَّعْرَةَ الْبَيْضَاءَ مِنْ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ

“Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut hadis yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Imam Nawawi berpendapat bahawa makruh mencabut uban dan tidaklah sampai kepada hukum haram sahaja.

Malah, kelebihan memiliki uban ini ada disebut melalui beberapa buah hadis sahih yang lain, iaitu:

لاَ تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الإِسْلاَمِ إِلاَّ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud: “Janganlah kalian mencabut uban. Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam Islam melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya buatnya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dalam riwayat lain juga, ada disebutkan mengenai uban yang ada padanya akan menjadi cahaya di hari akhirat nanti.

مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud: “Sesiapa yang tumbuh satu uban di jalan Allah, maka uban tersebut adalah cahaya untuk dirinya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Menurut Syeikh Muhammad Ibn Abd Al-Rahman, cahaya tersebut akan menyelamatkan diri sendiri daripada kegelapan semasa menanti giliran di mahsyar. Ia juga dikatakan sebagai petunjuk kepada dirinya sendiri. Wallahu a’lam.

Walau bagaimanapun, jika uban itu terlalu banyak dan dirasakan boleh menjejaskan diri sendiri seperti dalam alam pekerjaan dan sebagainya, dibolehlah untuk menutup uban tersebut dengan mewarnakan menggunakan inai dan sebagainya.

Hal ini ada disebut oleh Imam Syafi’e yang berpendapat harus hukumnya untuk mengubah warna putih uban seperti menggunakan inai dan perkara-perkara lain yang halal dan tidak menjejaskan ibadah.

غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ

Maksud: “Ubahlah ini (uban) dengan sesuatu dan jauhilah warna hitam. (Hadis Riwayat Muslim)

Manakala, dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Dzar, sunnah mewarnakan rambut dengan inai, manakala Abu Bakar mewarna rambut dengan pohon katam, iaitu pohon yang berwarna merah kehitam-hitaman yang tumbuh di daerah Yaman.

Maksud: “Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarnakan uban ialah dengan pokok inai dan katam.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jika ingin memotong rambut untuk membuang uban, maka hukumnya adalah harus dan tidak dilarang. Hal ini kerana perbuatan memotong rambut adalah tidak sama dengan mencabut uban.

Mencabut Uban Tidak Elok Untuk Kesihatan Rambut

Pada tahun 2012, salah seorang pakar kesihatan telah membuat kajian mengenai uban dan rambut terhadap kulit. Beliau ialah Ismael Galvan dan kajiannya telah dilakukan di sebuah universiti di Sepanyol, iaitu Museo Nacional de Ciecial Naturelas.

Hasil kajian beliau mengatakan bahawa mereka yang mempunyai uban merupakan seorang yang sihat dan panjang umur. Walaupun mereka ini dikatakan banyak berfikir, namun ia merupakan satu amalan yang bagus untuk menghubungkan sel-sel otak dengan baik.

Jika uban ini dicabut, ia akan menyebabkan jumlah rambut mudah menipis. Hal ini disebabkan folikel rambut, iaitu organ daripada kulit mamalia yang boleh menghasilkan bulu akan mudah rosak dan kulit kepala akan mudah menjadi kering dan senang untuk gugur.

Kesimpulan

Kajian saintifik ini telah membuktikan bahawa perintah Allah tiada yang sia-sia. Untuk menjaga kesihatan rambut dan kulit kepala daripada mudah rosak, kita perlu menitikberatkan walau sekecil-kecil perkara seperti uban ini.

Jangan risau dengan uban yang semakin banyak kelihatan di kepala anda, tapi mulalah berfikir mengenai peringatan Allah kepada kita melalui uban yang tumbuh itu.




No comments:

Powered by Blogger.